Hormati Keputusan… Noraini Ucap Selamat Maju Jaya Kepada Wan Norashikin

TAPAH, 20 April – Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad mengucapkan selamat maju jaya kepada bekas Ketua Wanita Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin di atas keputusan beliau menyertai Pas pada Sabtu.

Noraini yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagaimana pun menghormati pendirian yang telah dibuat Wan Norashikin.

“Beliau nak ikut suami… nak buat macam mana? Tetapi, kita hormati keputusan beliau. Sekurang-kurangnya beliau dah buat (daftar), dan kita (Wanita UMNO) dah tahu.

“Kita tahu yang beliau telah memilih jalan dan cara untuk bersama Perikatan Nasional (PN). Kita hanya boleh ucapkan selamat maju jaya kepada beliau,” katanya kepada UMNO Online.

Pada Sabtu media melaporkan Pas mengumumkan penyertaan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampong Gajah merangkap bekas Ketua Wanita UMNO Perak, Wan Norashikin daripada UMNO untuk menyertai parti itu.

Borang keahlian Wan Norashikin, diserahkan kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sempena Ceramah Mega Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di Kampung Tanjung Keramat.

Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan bahawa ia bukan soal ideologi tetapi lebih kepada isu peribadi.

“Sewaktu penamaan calon, saya bertemu dengan beliau bersama-sama mengiringi calon BN, tetapi seminggu kemudiannya, beliau ikut suami. Mungkin itu adalah langkah terbaik untuk beliau menuju ke syurga,” katanya.

Manakala Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad beranggapan bahawa tindakan Wan Norashikin itu tidak memberikan sebarang kesan kepada UMNO dan sudah lama dijangka. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit