Ayer Kuning Perlukan Kesinambungan Pembangunan Di Bawah Kerajaan – Nizar

TAPAH, 20 April – Ketua UMNO Bahagian Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria berharap pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning untuk memanfaatkan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi memastikan kawasan ini dapat meneruskan kesinambungan pembangunan yang telah dibawa penyandang, Allahyarham Ishsam Shahruddin.

Beliau berkata melalui calon yang diketengahkan Barisan Nasional (BN), Dr Ustaz Yusri Bakir agenda prihatin rakyat itu dapat diteruskan melalui pendekatan pelan pembangunan di bawah kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Sudah pasti banyak kerja-kerja yang perlu dilakukan apatah lagi kerajaan negeri Perak adalah seiring dengan Kerajaan Perpaduan. Rakyat mengetahui bahawa kerajaan yang ada merupakan kerajaan cukup baik mementingkan kestabilan, kemakmuran, harmoni untuk kemajuan infrastruktur, rohani kerana kita lihat di Ayer Kuning agak pesat membangun.

“Mengharapkan masyarakat tempatan untuk mengundi calon BN iaitu Dr Ustaz Yusri untuk dinobatkan sebagai wakil rakyat bagi meneruskan keteguhan legasi kepimpinan Tapah kerana uniknya di Tapah ini, di peringkat Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan begitu juga di DUN Chenderiang, Choong Shin Heng dan di Ayer Kuning ini adalah daripada BN.

“Jadi itu menunjukkan satu kesepakatan kemajukan masyarakat yang cukup serasi di situ,” katanya ketika ditemui UMNO Online baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau turut sama berharap rakyat matang untuk keluar mengundi pada 26 April seperti ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan tidak terpedaya dengan helah pihak pembangkang.

Nizar dalam pada itu menambah ahli-ahli UMNO yang dikenali sebagai pengundi putih, untuk keluar mengundi demi kesejahteraan Ayer Kuning.

“Kepada seluruh pengundi daripada pelbagai lapisan masyarakat begitu juga yang berada di luar Ayer Kuning untuk balik menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu.

“Kerana pada PRK ini kita bukan hanya dimainkan isu tidak menentu, malah perkara yang tidak ada kena mengena dengan Ayer Kuning juga dimainkan mereka, jadi jangan temakan dengan provokasi dan persepsi.

“Jadi kepada pembangkang, tak perlu main isu-isu yang remeh. Tak usahlah mengambil ruang dan peluang perkara-perkara yang tidak ada kena mengena contohnya tentang UMNODap.

“Sebenarnya itu tak boleh dimainkan UMNO/BN dan Pakatan Harapan menubuhkan kerajaan kerana kita tahu sejarah bahawa PRU15 berlaku ketidakcukupan jumlah kerusi Parlimen. Sepatutnya PN dengan PH yang menjadi kerajaan tetapi PN tidak mahu jadinya akhirnya BN dengan berjiwa besar bersama menyertai Kerajaan Perpaduan,” ujar beliau.

Terdahulu calon BN, Dr Ustaz Yusri Bakir pada PRK ini berdepan dengan dua saingan antaranya daripada Perikatan Nasional dan Parti Sosialis Malaysia.

Dr Ustaz Yusri, 54 tahun yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Tapah pertama kali bertanding pada pilihan raya ini, beliau merupakan bekas pensyarah di IPG Kampus Ipoh.

Merupakan Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Anak-Anak Tapah, beliau mempunyai empat anak berusia antara 20 hingga 28 tahun hasil perkongsian hidup dengan isteri, Rosnani Mahmud, 52.

PRK DUN Ayer Kuning ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu selepas menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit