Persidangan Tahunan UMNO Tonjol Semangat Perpaduan Cawangan – Sharif Musa
LAHAD DATU, 19 April – UMNO Bahagian Lahad Datu terus menunjukkan kekuatan dan perpaduan apabila berjaya menganjurkan Persidangan Tahunan Cawangan-Cawangan secara berkelompok yang menghimpunkan lima buah cawangan di sini.
Majlis ini telah dirasmikan oleh Ketuanya, Sharif Musa Sharif Mabul, yang menyatakan rasa syukur serta penghargaan terhadap kehadiran para ahli lantaran komitmen luar biasa dalam menjayakan program tersebut.
“Alhamdulillah! Semangat juang semua ahli UMNO yang hadir menggambarkan kesatuan dan kekukuhan UMNO Bahagian Lahad Datu untuk bangkit semula. InsyaAllah, dengan semangat ini, kita akan terus bergerak ke hadapan, memperkukuh kekuatan parti dan terus menjadi wadah perjuangan rakyat,” ujar beliau kepada UMNO Online.
Menurut beliau, kekuatan UMNO bermula daripada akar umbi, dan persidangan tahunan ini bukan sahaja menjadi platform untuk menilai perjalanan cawangan-cawangan sepanjang tahun, malah membuka ruang kepada ahli-ahli untuk terus memperkasa parti dengan idea dan cadangan yang membina.
“Persidangan ini turut mencerminkan komitmen dan kesepaduan antara cawangan, selari dengan aspirasi UMNO untuk memperkukuh struktur organisasi serta mempererat hubungan silaturrahim di semua peringkat.
“Ia juga memperlihatkan kesediaan UMNO Lahad Datu dalam menghadapi cabaran politik semasa dan memperkukuh kesiapsiagaan menjelang pilihan raya akan datang.”
Sharif Musa turut menyeru agar semua ahli UMNO terus istiqamah dan bersatu dalam perjuangan membela rakyat serta memartabatkan kembali kekuatan parti sebagai tunjang kepada kestabilan politik dan pembangunan negara, khususnya di kawasan Lahad Datu.
Persidangan tahunan secara berkelompok ini melibatkan lima cawangan iaitu Kampung Tulibas Besar, Kampung Bakau (B), Kampung Pisang, Kampung Muhibbah 3, dan Kampung Sabah Baru Hujung.
Persidangan UMNO peringkat Cawangan berlangsung dari 7 April hingga 25 Mei 2025, diikuti dengan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian yang dijadualkan antara 9 Jun hingga 27 Julai 2025.
Seterusnya, Perhimpunan Agung UMNO akan diadakan dari 20 Ogos hingga 23 Ogos 2025. – UMNO Online