PRK Ayer Kuning: Parti Ini Bukan Sesuatu Yang Bersifat Agama – Dr Asyraf
TAPAH, 18 April – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bahawa parti ini bukanlah sesuatu yang bersifatkan agama.
Ini kerana katanya, parti politik adalah sebahagian daripada proses untuk memilih pemimpin dalam dunia hari ini menggunakan sistem demokrasi.
“Saya lihat laporan-laporan yang kita terima dari bilik gerakan ialah suasana kempen amat tenang. Tidak ada masalah di kalangan penduduk di Ayer Kuning ini kerana saling mengenali. Seperti sebuah keluarga walaupun berbeza parti. Tetapi mereka hidup dalam keadaan yang harmoni. Inilah yang sepatutnya kita terus tegakkan.
“Kita berbeza ini hanya soal parti sahaja. Parti ini bukannya sesuatu yang bersifat agama. Islam adalah agama. Parti politik adalah sebahagian daripada proses untuk kita memilih pemimpin dalam dunia hari ini… dalam sistem demokrasi yang sebenarnya tidak ada di dalam Al-Quran ataupun hadis-hadis.
“Islam ini terbahagi kepada tiga tonggak utama. Pertama, akidah, perkara paling asas, tapi akidah saja tak cukup. Kedua adalah akhlak, sebab itu kalau kita bercakap soal Islam, akidah yang pertama, akhlak nombor dua dan ketiga adalah syariat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah sempena Program Taqarrub di pusat daerah mengundi (PDM) Changkat Petai, malam tadi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Ujarnya, akhlak merupakan perkara yang penting dalam mencerminkan agama Islam sebenarnya.
“Syariat ini adalah peraturan, undang-undang dan hukum. Hukum-hakam ni pula terbagi pada dua… Hukum-hakam yang terkait dengan ibadah dengan konteks hubungan kita dengan Allah SWT.
“Kedua adalah hakam yang berkaitan dengan bagaimana kita nak menguruskan kehidupan di dunia ini. Termasuklah juga dalam menguruskan soal politik. Politik ini ada sebahagian daripada tuntutan agama.
“Jangan kita bicara soal hukum hakam, kalau akhlak kita tak berperangai macam orang Islam. Bercakap soal Islam, tetapi mulut mencaci, memaki hamun orang. Itu bukan Islam,” katanya.
Jelasnya, semua pihak mesti mengetahui sempadan dan batas dalam berpolitik.
“Kita semua kena terbuka. Kita boleh berpolitik tetapi mesti ada sempadanny. Mesti ada haknya. Mesti ada batasan. Kita berbeza parti, bukan berbeza agama.
“26 April ialah hari mengundi. Sudah tentu UMNO dan Barisan Nasional (BN) menampilkan seseorang yang terbaik wakili parti kita kali ini. Dr Ustaz Yusri Bakir. Kita tak mahu mengata calon sebelah sana. Sebab itu bukan budaya kita.
“Kita hanya mempromosikan apa yang pasti kita buat. Apa yang kita nak tampilkan. Mudah-mudahan, saya tengok momentumnya Alhamdulillah. Apabila kita turun ke kampung-kampung dan laporan-laporan yang diterima. Rupa-rupanya orang Ayer Kuning ini betullah… dalam keadaan tsunami dulu pun boleh menang, ini apatah lagi.
“Dengan bantuan daripada negeri angkat, daripada bahagian angkat. Insya-Allah kita boleh menang. Beritahu anak-anak di Kuala Lumpur. Beritahu anak-anak di Ipoh. Beritahu anak-anak di Pulau Pinang. Baliklah mengundi. Pastikan kita undi Dr Ustaz Yusri Bakir supaya beliau boleh menyanggung tugas-tugas dan tanggungjawab almarhum Ishsam Shahruddin.
“Produk kita adalah yang terbaik. Kita bukan jual harapan palsu. Kita jual agenda besar untuk pertahankan agama. Kita tidak memperlekehkan dan meremehkan orang lain. Kita hanya menyeru rakyat pada 26 April ini, undilah Dr Ustaz Yusri Baki, calon nombor 1,” katanya lagi.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon daripada tiga parti.
Dr Ustaz Yusri Bakir yang mewakili BN merupakan bekas pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Ipoh akan berhadapan dengan dua lagi calon daripada Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia. – UMNO Online