Kerjasama PRN: UMNO Sabah Terus Berkhidmat, Prinsip Perjuangan Tetap Teguh – Jeffery Nor

KOTA KINABALU, 18 April – Pengarah Jentera Pilihan Raya UMNO Sabah, Jeffery Nor Mohamad menegaskan bahawa perjuangan UMNO sentiasa berlandaskan prinsip membela nasib rakyat tanpa mengira masa atau situasi politik semasa.

Menurut beliau, khidmat kepada rakyat bukan hanya ditumpukan ketika musim pilihan raya semata-mata, sebaliknya merupakan satu tanggungjawab berterusan yang menjadi teras perjuangan parti sejak dahulu lagi.

“UMNO tidak pernah berhenti daripada melaksanakan usaha untuk membantu rakyat, sama ada ketika kita berada dalam kerajaan mahupun sebagai pembangkang. Ini adalah komitmen yang tidak bersyarat dan tidak bermusim,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putatan berkata demikian sebagai maklum balas kepada pengumuman Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin bahawa parti itu akan bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi PRN Sabah tidak lama lagi.

Jeffery Nor menekankan bahawa UMNO sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak demi kepentingan rakyat dan kestabilan negara, namun kerjasama tersebut tidak akan mengubah prinsip asas perjuangan parti.

“Dengan siapa pun UMNO bekerjasama, realitinya usaha untuk membela rakyat dalam apa jua keadaan tetap menjadi keutamaan.

“Kita bukan melaksanakan perjuangan atas motif politik semata-mata, tetapi lebih kepada perjuangan untuk memartabatkan suara rakyat, memperjuangkan kebajikan mereka, dan memastikan pembangunan yang inklusif dapat dinikmati oleh semua demi agama, bangsa dan negara.”

Beliau turut mengingatkan bahawa UMNO Sabah akan terus turun padang bagi mendengar denyut nadi rakyat serta menyampaikan bantuan secara langsung tanpa mengira latar belakang politik atau sokongan individu tertentu.

“Rakyat Sabah memerlukan pemimpin yang dekat dengan mereka, yang faham akan cabaran hidup seharian dan sanggup berganding bahu untuk menyelesaikan isu-isu yang membelenggu mereka. Di sinilah peranan UMNO yang akan terus bersama rakyat, bukan hanya muncul ketika hendak meraih undi,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, beliau menyeru seluruh ahli dan penyokong UMNO agar terus memperkukuh semangat perpaduan dan kerja keras demi memastikan parti terus relevan dan dipercayai oleh rakyat.

Semalam, beliau telah memenuhi undangan sambutan hari raya Aidilfitri TABIKA dan kelas jahitan serta kraftangan KEMAS PPR Serigai. Kesempatan tersebut dimanfaat oleh Jeffery Nor sebagai ruang untuk menyantuni masyarakat dalam ukhwah kekeluargaan yang lebih akrab. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit