Anak Muda Di Luar Ayer Kuning Diseru Pulang Mengundi – Mohamad

TAPAH, 18 April – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berharap pengundi muda yang berada di luar Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning untuk pulang ke kampung halaman mereka bagi menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Kecil (PRK) ini.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata ini kerana melalui PRK mereka boleh memilih kerajaan yang stabil demi menjamin pembaharuan dan pembangunan di kawasan.

“Pengundi baharu perlu memahami tanggungjawab kepada negara kerana tugas mereka membuang undi semasa pilihan raya.

“Anak-anak muda jika mereka mahu melihat kesinambungan kerajaan yang stabil mereka mesti menjalankan tanggungjawab ini,” katanya.

Mohamad berkata demikian ketika sidang media di Batu Masjid sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, turut hadir calon BN Ustaz Dr Yusri Bakir.

Beliau dalam pada itu memaklumkan pihaknya menyasarkan lebih 70 peratus pengundi muda yang berada di luar kawasan untuk menunaikan undi pada 26 April.

“Kita tak mahu melihat kedatangan bawah daripada 50 peratus, kalau boleh peratusan kehadiran melebihi 70 peratus jadi ini dapat menggambarkan bahawa kemenangan Ustaz Dr Yusri Bakir mendapat sokongan majoriti masyarakat tempatan,” ujar beliau.

Mohamad dalam itu berharap pengundi Ayer Kuning untuk tidak terpengaruh dengan isu dibawa pembangkang antaranya membabitkan isu ladang babi yang dibangkitkan mereka.

Beliau malah menyifatkan Perikatan Nasional (PN) sering kali melakukan tuduhan liar yang sudah menjadi darah daging mereka.

“Orang Tanjung Keramat pun tahu itu tidak benar jadi jangan terperangkap dengan fitnah sebegini nak memainkan sentimen yang boleh menyebabkan kegusaran masyarakat kerana menggunakan agama, kaum.

“Negara kita berbilang kaum, ada undang-undang kalau beroperasi tanpa lesen kerajaan negeri perlu ambil tindakan jika ada lesen dan mengikut prosedur saya yakin tidak menjadi masalah kepada orang tempatan,” katanya.

Terdahulu PN pada sidang pada semalam memaklumkan adanya ladang babi yang menganggu penduduk sekitar, namun hasil laporan media yang dilakukan rata-rata daripada penduduk memaklumkan ladang itu ditempatkan sejauh kira-kira tiga kilometer (KM) dari penduduk setempat. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit