ADUN Sukau Suarakan Isu ‘Tiga Serangkai’ Di Sabah: Air, Elektrik Dan Jalan Raya
KOTA KINABALU, 18 April – Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah telah menutup tirainya semalam dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau, Datuk Jafry Ariffin, tampil menyuarakan beberapa isu kritikal yang kerap menjadi rungutan rakyat, khususnya melibatkan keperluan asas seperti bekalan air bersih, bekalan elektrik, dan kemudahan jalan raya.
Menurut beliau yang juga Setiausaha UMNO Sabah, isu “tiga serangkai” ini memerlukan perhatian serius dan tindakan tuntas daripada pihak kerajaan.
Beliau menegaskan bahawa masalah bekalan air bersih masih menghantui banyak kampung di kawasannya meskipun kawasan tersebut sudah mempunyai sistem bekalan sedia ada.
“Sebagai wakil rakyat, suara saya di Dewan ini hanyalah gema kecil daripada rintihan rakyat di luar sana,” ujar beliau dalam nada tegas dalam sidang terbabit.
Dalam menyentuh isu jalan raya, beliau menyatakan bahawa keadaan rangkaian jalan raya di Sabah, termasuk jalan-jalan kampung, masih jauh daripada memuaskan.
Beliau turut memuji inisiatif pembinaan Lebuhraya Pan Borneo yang diperkenalkan oleh kerajaan terdahulu, namun menyuarakan kebimbangan terhadap kemajuan semasa projek tersebut serta keadaan jalan yang dikatakan merbahaya dan menyusahkan pengguna.
“Cadangan pembinaan Pan Borneo yang diperkenalkan oleh kerajaan Barisan Nasional terdahulu sewajarnya diberikan pujian. Namun, apa yang dilalui pada ketika ini adalah perhubungan jalan raya yang teruk dan merbahaya kepada pengguna.
“Rata-rata kita mendengar keluhan pengguna jalan raya yang gagal ditangani pihak berwajib secara tuntas. Di samping itu, jalan-jalan di peringkat kampung juga masih banyak yang perlu dilaksanakan dan diambil perhatian.”
Justeru beliau menyeru agar pihak berwajib membuat satu kajian secara holistik dan komprehensif tentang keperluan jalan raya sebagai jaringan dengan kampung-kampung.
“Kita semua mempunyai tanggungjawab untuk memastikan pembangunan Negeri Sabah bukan sahaja rancak, tetapi juga adil dan saksama untuk semua rakyat,” tambah beliau.
Jafry turut menekankan bahawa teguran beliau bukan bersifat menentang secara membuta tuli, sebaliknya merupakan satu bentuk teguran membina dengan cadangan praktikal, demi memastikan setiap dasar kerajaan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat di peringkat akar umbi.
Selain masalah air, Jafry turut mengangkat isu bayaran lesen yang membebankan, infrastruktur pelancongan yang daif serta aspek keselamatan pelancong yang perlu diberikan perhatian lebih oleh pihak berwajib.
“Jika benar-benar mahu menjadikan Sabah sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia, kita perlu sedar bahawa keindahan semula jadi semata-mata tidak mencukupi.
“Pelancong-pelancong hari ini biar dalam dan luar negara mencari satu pengalaman yang bukan sahaja indah tetapi juga selamat dan selesa. Infrastuktur pelancongan sering menjadi rungutan pemain industri dan pelancong kerana ia tidak mencapai ke tahap yang memuaskan terutamanya di banyak destinasi pelancongan utama di Sabah,” katanya lagi. – UMNO Online