Rakyat Ayer Kuning Bijak Menilai, Sosok Dr Ustaz Yusri Cukup Kredibiliti
TAPAH, 17 April – Pengerusi Majlis Hal Ehwal Wanita Dan Keluarga UMNO Malaysia (HAWA), Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berharap pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning bijak memilih pemimpin yang berkredibiliti pada Pilihan Raya Kecil (PRK) ini.
Menurut beliau ini kerana ia penting bagi memastikan pembangunan di kawasan dapat diteruskan dengan sebaiknya bagi memberi manfaat kepada rakyat setempat.
“Kami turun pada hari ini kerana menaruh harapan, tinggi kepercayaan kepada Dr Ustaz Mohamad Yusri Bakir kerana amat mustahak calon di bawah kerajaan yang ada pada hari ini yang akan membawa penambahbaikan di kawasan.
“HAWA percaya bahawa Dr Ustaz Yusri yang sosoknya cukup ramuan mampu membawa pembaharuan, pembangunan di kawasan ini nanti kerana amat penting pemimpin yang mempunyai stamina, pengaruh, ilmu dan bagi membawa visi dan idealisme partinya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Usahawan Hebat Dengan Kuasa Tiktok Live di Sungai Kroh, hari ini.
Turut hadir calon BN, Dr Ustaz Mohamad Yusri Bakir; Pengerusi HAWA Ekonomi, Datuk Seri Dr Zurainah Musa; Pengerusi HAWA Perak, Rosmaizar Mat Ali serta kepimpinan lain dengan kerjasama Amanah Ikhtiar Malaysia, KNKV Group.
Dalam pada itu Shahrizat yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata Perak di bawah pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad cemerlang dalam memperkasa negeri ke peringkat tersendiri.
Katanya, perkara itu perlu dijadikan salah satu sandaran kepada pengundi di sini untuk memilih BN pada 26 April ini.
“Dr Ustaz Yusri bukan keseorangan sebaliknya membawa nama kerajaan insya-Allah sekiranya menang beliau akan bawa agenda rakyat pembangunan, kepakaran dan lain-lain.
“Kita minta berilah peluang kerana Dr Ustaz Yusri ini mewakili pihak yang membawa rekod begitu baik iaitu Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad yang hebat kepimpinannya,” ujar beliau.
Terdahulu calon BN, Dr Ustaz Mohamad Yusri Bakir berdepan dengan dua saingan antaranya daripada Abdul Muhaimin Malek (Perikatan Nasional) dan Bawani KS (Parti Sosialis Malaysia).
Dr Ustaz Yusri, 54 tahun yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Tapah pertama kali bertanding pada pilihan raya ini, beliau adalah bekas pensyarah di IPG Kampus Ipoh yang telah berkhidmat dari 2007.
PRK DUN Ayer Kuning ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu selepas menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang. – UMNO Online