Lawatan China Di Malaysia: Perspektif Syariat Islam

NAMPAKNYA sambutan hangat yang diberikan pihak kerajaan ke atas Presiden Negara China sempena kunjungan beliau ke negara ini telah diambil kesempatan oleh pihak lawan untuk menanam kebencian dan membangkitkan emosi rakyat secara tidak bertanggungjawab.

Begitulah sikap pembangkang yang hanya tahu dan mahu mengkritik pelbagai usaha pihak kerajaan meskipun mereka sedar kepentingan mengadakan hubungan diplomasi dengan negara-negara lain apatah lagi China sebagai kuasa besar dunia.

Majlis Ulama UMNO (MUU) merasa terpanggil untuk memberi penjelasan mengenai isu lawatan Presiden China ke negara kita berdasarkan hujah ilmiah berikut:

 

1. Islam tidak menghalang hubungan diplomasi dengan negara non-Muslim yang tidak memerangi Islam dan kaum Muslimin.

China tidak secara terang-terangan menzahirkan permusuhan terhadap Islam dan Muslimin, khususnya di Malaysia. Mereka bahkan datang atas urusan diplomasi, hubungan bilateral antara dua negara, bisnes, pelaburan dan perniagaan.

2. Melayan tetamu negara lain, meskipun tetamu itu kafir dengan begitu baik adalah sunnah Rasulullah SAW.

Saidina Abdullah ibn Abbas ibn Abd al-Muttalib berkata:

أوصى رسول الله صلى الله عليه وسلّم عند موته بثلاث، (أحدها) وأجيزوا الوفد بنحو ما كنت أجيزهم.
“Rasulullah SAW mewasiatkan ketika menjelang kewafatan baginda dengan tiga (3) perkara, antaranya: Berilah hadiah dan pemberian yang baik kepada utusan wakil negara lain sepertimana aku telah berikan kepada mereka.” (Bukhari: 3053)

Pemberian kepada wakil pemimpin, utusan negara lain pada zaman baginda adalah:

a . Hak tetamu yang sempurna; menetap dan bermalam, makan minum, keselamatan & kemudahan urusan.

b . 1 wuqiyyah perak; bersamaan 40 dirham.

Pemberian ini tetap diberikan walaupun kepada tetamu negara bukan Muslim. Imam Ibn al-Mulaqqin al-Syafi’i berkata:

لأنهم وإن كانوا من الروم فإنهم لا يأتون إلا بأمر فيه منفعة وصلاح للمسلمين فكذلك أمر – صلى الله عليه وسلم – بالوصاة بإجازتهم، وأيضا فإنهم ضيوف
“Sekalipun tetamu yang datang berjumpa khalifah Islam dulu adalah dari Rom (Kristian), mereka datang tidak lain untuk membawa urusan yang mempunyai manfaat serta maslahat untuk umat Islam. Oleh yang demikian, Nabi arahkan untuk beri hadiah kepada mereka; begitu juga kerana mempunyai hak sebagai tetamu.” (al-Taudhih, 18/284)

Imam Ibn Battal al-Maliki kata: Hadis di atas mengajar kita bahawa memberi pemberian terbaik kepada tetamu negara lain dengan baik (جَوَائِزُ الْوُفُودِ) adalah sunnah, sebagaimana ditegaskan oleh al-Muhallab ibn Ahmad al-Andalusi. (Syarh Ibn Battal, 5/346)

3. Pemerintah berhak menutup jalan untuk mempermudahkan urusan dan memberi laluan kepada pemimpin. Saidina Abu Hurairah, ketika beliau menjadi gabenor Madinah, beliau akan mengarahkan agar orang-orang sekeliling memberi laluan dan jalan khusus kepada beliau. Oleh yang demikian, memberi laluan kepada pemimpin – lebih-lebih lagi untuk keselamatan dan kelancaran urusan penting kenegaraan – adalah menepati ajaran Islam serta amalan para Salafussoleh.

Urusan jalan mesti diserahkan kepada pemimpin. Pemimpin boleh mengizinkan sama ada jalan itu perlu dikhususkan, atau dibuka berdasarkan kepentingan awam. Pemimpin lebih mengetahui maslahat rakyat.

al-Hafiz Ibn Rajab al-Hanbali berkata:

لأن نفع الطريق حق مشترك بين المسلمين، فلا يجوز تخصيصه بجهة خاصة بدون إذن الإمام
“Kerana manfaat jalan adalah hak bersama orang-orang Islam (rakyat), maka tidak boleh mengkhususkan mana-mana jalan dengan apa jua cara sekalipun melainkan dengan izin pemimpin.” (Fath al-Bari, 3/412)

MUU berharap semoga penjelasan ini dapat memberi kefahaman betapa pentingnya menilai sesuatu dengan ilmu dan urusan diplomatik antara negara biarlah menjadi urusan pihak pemerintah.

MAJLIS ULAMA UMNO MALAYSIA

*********************************************

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit