Isu Poster PN: Mohd Sharkar Ingatkan Semua Pihak Berkempen Secara Sihat

TAPAH, 17 April – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin mengingatkan semua pihak untuk berkempen secara sihat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Ini kerana katanya, Perikatan Nasional (PN) telah menggunakan taktik lama dengan menyiarkan gambar penyokong UMNO sebagai poster untuk meraih undi.

“Itu taktik lama. Apabila berkempen, kita kena ikut tatacara, tatasusila, tataurus dan tatakelola. Biar rakyat yang menentukan sama ada kita popular atau tidak. Biar rakyat tentukan parti mana yang layak menjadi wakil kepada kawasan ini. Jangan laksanakan kempen-kempen yang negatif.

“Ini kerana yang akan menjadi mangsa nanti adalah pengundi di sini. Sekiranya mereka memilih wakil rakyat yang tidak bersama dengan kerajaan negeri, sudah tentulah ia akan menyusahkan. Sebab itulah kita nak orang di sini bijak memilih, pastikan kemenangan untuk calon kita, Dr Ustaz Yusri Bakir,” katanya kepada UMNO Online.

Sementara itu, beliau berharap agar para jentera tidak merasa selesa dengan kedudukan yang ada dan mengerahkan seluruh tenaga demi memastikan para pengundi memberikan sokongan kepada BN.

“Saya harap kita jangan berpuas hati. Walaupun di atas kertas kita menang, tetapi itu tidak melambangkan bahawa ia akan diterjemahkan dalam undi. Pastikan ramai pengundi keluar dan kita cari seramai yang mungkin. Hadiahkan kemenangan ini untuk mempertahankan Kerajaan Negeri Perak dan juga Kerajaan Perpaduan.

“Untuk pengundi, kita mesti bijaksana dalam memilih kerana kita dah tahu apa yang calon sebelah sana boleh buat sekiranya mereka menang. Kita boleh tengok kemajuan yang ada di negeri-negeri mereka tunjangi.

“Mereka hanya mahukan kemenangan, bukannya untuk memberikan perkhidmatan. Saya lihat di DUN Ayer Kuning ini, mereka masih memerlukan pemimpin yang berkhidmat dan juga membawa kepada pembangunan. Gunakanlah kesempatan ini untuk menterjemahkan undi dengan memilih calon BN, Dr Ustaz Yusri Bakir supaya kerajaan ada perasaan sayang kepada pengundi di sini,” katanya lagi.

Pada Ahad media melaporkan calon PN telah menggunakan gambar pemimpin UMNO/BN tempatan sebagai bahan kempen mereka tanpa sebarang kebenaran.

Berdasarkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Temoh, isteri kepada pemimpin tersebut berkata suaminya memegang jawatan dalam Pusat Daerah Mengundi (PDM) BN Temoh Stesen.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian untuk PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.

PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon daripada tiga parti pada 26 April ini.

Dr Ustaz Yusri Bakir yang mewakili BN merupakan bekas pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Ipoh akan berhadapan dengan dua lagi calon daripada Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit