Bulan Sabit Hilang Dari Jalur Gemilang, Tindakan Tegas Dituntut – Pemuda UMNO Negeri Sembilan
SEREMBAN, 17 April – Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Mohamad Fadil Md Zin, mengecam tindakan akhbar berbahasa Cina yang didakwa telah menerbitkan gambar bendera Malaysia tanpa simbol bulan sabit.
Menurut beliau, tindakan itu disifatkan sebagai satu bentuk kebiadaban terhadap simbol kedaulatan negara dan tidak boleh dianggap sebagai kesilapan kecil walaupun permohonan maaf telah dikemukakan oleh pihak akhbar.
“Kesalahan ini tidak boleh dibiarkan hanya dengan permohonan maaf. Pemuda UMNO Negeri Sembilan mahu melihat apakah tindakan tegas yang akan diambil oleh kerajaan melalui Kementerian Komunikasi terhadap kebiadaban ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau turut menyifatkan kesilapan tersebut sebagai satu tindakan yang seolah-olah memandang ringan prinsip kedua Rukun Negara, iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara, dan menyuarakan kebimbangan terhadap kelemahan tindakan balas pihak berkuasa.
“Kementerian Komunikasi dilihat gagal dan lemah dalam menangani isu yang menyentuh lambang kedaulatan negara. Pemuda UMNO Negeri Sembilan tidak mahu kelemahan seorang menteri menyebabkan keseluruhan kerajaan dilihat turut gagal. Seperti pepatah Melayu, ‘kerana nila setitik, rosak susu sebelanga’,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa konsep Malaysia MADANI yang dibawa oleh kerajaan tidak sesekali menggalakkan sikap biadab, sebaliknya menekankan nilai perpaduan dan keharmonian dalam kalangan rakyat pelbagai kaum.
“Jangan biarkan kebiadaban demi kebiadaban terus menular dalam negara ini. Malaysia MADANI mengajak rakyat kepada adab, nilai dan perpaduan – bukan sebaliknya,” katanya. – UMNO Online