BN Kenal Pasti Pengundi Putih, Santuni Atas Pagar – Mohamad
TAPAH, 17 April – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan gerak kerja sebaiknya dilakukan dalam mendekati seramai mungkin pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning sempena Pilihan Raya Kecil (PRK).
Beliau berkata jentera parti di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) telah digerakkan bagi menyantuni pengundi serta mengenal pasti kecenderungan mereka terhadap BN.
“Setiap PDM telah diberi petunjuk prestasi utama (KPI) untuk mereka urus gerak kerja dengan baik, santuni seramai mungkin pengundi putih, kelabu, atas pagar dan yang tidak bersama kita.
“Masuk minggu kedua nanti penting sudah dapat secara kasarnya berapa jumlah undi yang kita sudah dapat, boleh menjangkakan kedudukan parti kita dalam PRK,” katanya.
Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata demikian pada sidang media yang diadakan ketika menyantuni jentera di PDM Batu Tiga.
Turut hadir calon BN, Dr Ustaz Yusri Bakir.
Mengulas lanjut Mohamad berkata beliau juga akan menemui pengundi kelabu dan atas pagar untuk berdialog mengenai isu membabitkan UMNO/BN mendepani politik masa kini.
Katanya, ini termasuk tohmahan dilempar segelintir pihak membabitkan penyertaan UMNO/BN dalam Kerajaan Perpaduan.
“Kita temui seramai pengundi putih dahulu untuk dikumpulkan dan dalam masa itu jumpa pengundi kelabu yang berada di atas pagar.
“Pengundi ini yang perlu didekati dan beri penerangan kerana ada isu yang mengganggu sokongan atau pemikiran mereka yang kita kena terangkan.
“Saya akan jumpa dan menjawab sebanyak mungkin yang mereka hendak tahu daripada kepimpinan parti sendiri terutama tuduhan UMNO bergabung dengan Dap… itu isu utama, padahal UMNO tak pernah bergabung dengan sesiapa.
“UMNO bersama atas asas mengurus negara kerana parti-parti yang mendapat banyak undi pada PRU15 (Pilihan Raya Umum 15) gagal menubuhkan kerajaan,” ujar beliau.
Untuk rekod calon BN, Dr Ustaz Yusri berdepan tiga penjuru iaitu dengan wakil Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).
PRK DUN Ayer Kuning ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu selepas menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang. – UMNO Online