Bendera Malaysia Dihina, Tindakan Tegas Wajar Dibuat Segera – Azhari

KUALA LUMPUR, 17 April – Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari
tampil lantang mengecam tindakan akhbar berbahasa Cina yang menyiarkan imej Jalur Gemilang dalam keadaan tidak sempurna dan menyifatkan ia sebagai satu penghinaan terhadap simbol kedaulatan negara dan agama Islam.

Menurut Azhari, perkara ini tidak boleh dipandang remeh dan permohonan maaf semata-mata tidak mencukupi.

Katanya, kesilapan tersebut bukannya sesuatu yang boleh dianggap ringan apatah lagi ia membabitkan simbol negara.

“Kerajaan perlu ambil tindakan tegas terhadap akhbar No 1 berbahasa Cina – Sin Chew Daily kerana memaparkan bendera Malaysia yang tidak sempurna.

“Permohonan maaf tidak boleh diterima sama sekali. Bagaimana kesilapan ini boleh berlaku?

“Bulan sabit di dalam bendera Malaysia melambangkan agama Islam sebagai Agama Rasmi Persekutuan Malaysia,” katanya.

Mengulas lanjut kata Azhari mempersoalkan niat sebenar di sebalik kandungan yang diterbitkan oleh akhbar tersebut.

“Apa maksud yang cuba disampaikan oleh Sin Chew Daily ini?

“Kesalahan ini tidak boleh dimaafkan. Perlu ambil tindakan tegas dan berat ke atas akhbar ini,” ujarnya.

Beliau menyeru agar semua pihak, tanpa mengira latar belakang politik atau kaum, berdiri mempertahankan maruah bendera negara.

Setakat ini, pihak Sin Chew Daily telah mengeluarkan kenyataan maaf rasmi, namun tekanan terus meningkat agar tindakan undang-undang dikenakan sebagai pengajaran kepada semua pihak agar tidak mempermainkan simbol negara sesuka hati. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit