Ahmad Zahid Sifatkan Hubungan Strategik Malaysia–China Melangkah Ke Era Baharu

PUTRAJAYA, 17 April – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan China kini memasuki era baharu yang lebih strategik, seimbang, dan berpandangan jauh, susulan lawatan bersejarah Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia.

Katanya, lawatan bersejarah ini adalah titik tolak kepada era baharu hubungan Malaysia–China yang lebih strategik, seimbang dan berorientasikan masa depan.

“Insya-Allah, dengan semangat saling percaya dan persefahaman yang kian kukuh, segala usaha ini akan memberi limpahan manfaat kepada rakyat kedua-dua negara,” ujarnya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.

Semalam Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO bersama barisan Jemaah Menteri mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat dua hala yang berlangsung selama lebih satu jam di Kompleks Seri Perdana.

Ujar Ahmad Zahid, kehadiran Presiden Xi ke Malaysia selepas lebih satu dekad adalah manifestasi kukuh kepercayaan dan penghormatan Negara China terhadap Malaysia sebagai rakan strategik utama di rantau ini.

“Insya-Allah, dengan semangat saling percaya dan persefahaman yang kian kukuh, segala usaha ini akan memberi limpahan manfaat kepada rakyat kedua-dua negara,” katanya.

Antara perkara utama yang dibincangkan termasuklah peluasan perdagangan dan pelaburan, kerjasama dalam bidang teknologi masa hadapan seperti kecerdasan buatan (AI), serta penerokaan sektor baharu seperti agrikomoditi, ekonomi digital, semikonduktor, pengangkutan dan automotif.

Presiden China Xi Jinping tiba di Malaysia pada Selasa untuk mengadakan lawatan negara selama tiga hari atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Lawatan kali ini menandakan kunjungan rasmi kedua Jinping ke Malaysia dalam tempoh 12 tahun, selepas kunjungan terakhir pada 2013. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit