PRK: Orang Muda Perlu Matang Nilai Trek Rekod Parti Terbaik – Nurul Amal
TAPAH, 16 April – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berharap pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning khususnya wanita muda memanfaatkan Pilihan Raya Kecil (PRK) ini untuk membuat keputusan bijak dengan mengundi Barisan Nasional (BN).
Menurut beliau ini kerana, trek rekod BN dalam pentadbiran termasuk wakil-wakil rakyat melihatkan komitmen terbaik mengatasi parti-parti yang lain.
“Kadang-kadang orang muda di luar sana ini hanya fikirkan mungkin dari segi spekulasi ataupun emosi apa sahaja yang dimainkan oleh pihak pembangkang.
“Jadi saya nak buka minda kepada orang muda sama kerana kita adalah generasi yang membentuk masa hadapan. Macam mana generasi kita itulah masa depan negara.
“Jadi sebelum ini walaupun apa sahaja pilihan yang dibuat… mungkin orang muda boleh cakap parti lain bagus tapi kalau dia buat sedikit kajian ia tidak boleh mengatasi rekod BN juga sebenarnya,” katanya.
Nurul Amal berkata demikian ketika ditemui UMNO Online pada ziarah kasih di Pusat Daerah Mengundi Ayer Kuning bersama jentera MIC.
Dalam pada itu beliau turut berkongsi tinjauan yang dilakukan, menurutnya rata-rata daripada pengundi menunjukkan reaksi yang positif ketika beliau memperkenalkan latar belakang calon.
“Kita buat ziarah kasih bersama Puteri MIC dan MCA dan ke rumah-rumah yang pengundi pertama kali kerana kita tahu mereka ramai juga di sini.
“Fokus kita adalah untuk jejak seberapa ramai yang mungkin untuk mereka bersama-sama dengan kita dan Puteri memang fokus kepada pengundi-pengundi muda yang 40 tahun ke bawah dan khususnya yang berada dalam kawasan selain pengundi luar.
“Setakat ni positif tapi kena banyak menerangkan situasi kerana tahu semakin hari semakin banyak tomahan yang dilemparkan kepada parti. Jadi tugas kita kena bagi fakta dan hujah yang boleh membuka minda mereka supaya mereka merasakan perjuangan sebenar UMNO/BN,” ujar beliau.
Terdahulu calon BN, Dr Ustaz Mohamad Yusri Bakir berdepan dengan dua saingan antaranya daripada Abdul Muhaimin Malek (Perikatan Nasional) dan Bawani KS (Parti Sosialis Malaysia).
Dr Ustaz Yusri, 54 tahun yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Tapah pertama kali bertanding pada pilihan raya ini, beliau adalah pensyarah di IPG Kampus Ipoh pada 2007 dan meletakkan jawatan pada awal bulan lalu.
PRK DUN Ayer Kuning ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu selepas menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
Ishsam, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah sejak 2018, memenangi kerusi DUN berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan memperoleh majoriti 2,213 undi dalam persaingan lima penjuru.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh bagi penamaan calon PRK DUN Ayer Kuning pada 12 April depan, diikuti undi awal pada 22 April, manakala tarikh mengundi ditetapkan pada 26 April membabitkan 31,897 pengundi berdaftar. – UMNO Online