Penghinaan Jalur Gemilang Isu Serius, Jangan Permainkan Simbol Kedaulatan – Nasrun Nasruddin
KUALA LUMPUR, 16 April – Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan memandang serius tindakan yang tidak bertanggungjawab akhbar Sin Chew Daily memaparkan gambar Jalur Gemilang tanpa lambang bulan sabit.
Ketua Penerangannya, Nasrun Nasruddin berkata, ia adalah satu lambang penting yang mewakili kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan, selaras dengan Perkara 3(1) Perlembagaan Malaysia.
Katanya, Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan tegas menolak sebarang bentuk penghinaan terhadap Jalur Gemilang dan menuntut tindakan segera dari pihak Polis dan Kementerian Komunikasi.
“Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan mendesak agar tindakan tegas diambil oleh pihak kerajaan melalui Kementerian Komunikasi, termasuk kemungkinan menggantung atau mengharamkan penerbitan tersebut, kerana ini jelas menyentuh isu 3R (agama, kaum, raja) yang mampu menggugat keharmonian negara.
“Sampai bila kita mahu menyukat dengan dua cupak? Tindakan pantas diambil jika ia melibatkan sesetengah golongan, tetapi dibiarkan sewenang-wenangnya jika datang dari pihak tertentu,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Pergerakan UMNO Bahagian Wangsa Maju turut mempersoalkan integriti dan kesetiaan editor akhbar terbabit terhadap kedaulatan negara.
Ujarnya, tindakan serta pendirian yang ditunjukkan oleh mereka menimbulkan persoalan mengenai prinsip serta tanggungjawab sebagai pengamal media di negara ini.
“Di manakah integriti dan kesetiaan terhadap kedaulatan negara? Ini bukan isu kecil. Ini soal prinsip, ini soal maruah,” tegasnya.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai ilustrasi Jalur Gemilang yang diletakkan bersebelahan bendera China tidak lengkap apabila tidak diletakkan bulan sabit.
Kesilapan itu menimbulkan kemarahan dalam kalangan rakyat Malaysia dan menyifatkan akhbar tersebut sebagai tidak peka.– UMNO Online