Ketua Menteri Melaka Tidak Terlibat Dengan Penahanan Bekas Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Negara
MELAKA, 16 April 2025 – Kerajaan Negeri Melaka hari ini menafikan sebarang kaitan Ketua Menterinya, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dengan penahanan bekas Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Seri Dr Mohamad Ali Mohamad oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Menteri Melaka, pentadbiran negeri menegaskan bahawa Ketua Menteri tidak mempunyai sebarang kaitan langsung mahupun tidak langsung dengan siasatan yang sedang dijalankan oleh SPRM.
“Sebarang dakwaan yang mengaitkan YAB Ketua Menteri dengan penahanan tersebut adalah tidak berasas, bersifat spekulatif dan boleh mengelirukan rakyat,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan tersebut turut menyatakan kebimbangan bahawa tuduhan tidak berasas sedemikian boleh menjejaskan reputasi kepimpinan negeri serta mengganggu tumpuan pentadbiran dalam melaksanakan agenda pembangunan untuk rakyat.
Dalam hal ini, pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka menyatakan sokongan penuh terhadap prinsip kebebasan institusi penguatkuasaan dan memberi kepercayaan sepenuhnya kepada SPRM untuk menjalankan siasatan secara telus dan profesional tanpa sebarang campur tangan.
“Pentadbiran ini juga menyeru semua pihak agar lebih bertanggungjawab dalam menyampaikan dan menyebarkan maklumat. Penyebaran berita palsu dan fitnah di media sosial adalah satu kesalahan di bawah undang-undang, dan tindakan sewajarnya boleh diambil terhadap pihak yang terlibat.
“Kerajaan Negeri Melaka akan terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh tadbir urus negeri yang berteraskan integriti, kecekapan dan ketelusan demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri,” tambahnya. – UMNO Online