Kerjasama UMNO – PH Sabah: Strategi Politik Bukan Sekadar Gimik – Suhaimi

KOTA KINABALU, 16 April – Kenyataan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berhubung kerjasama antara UMNO Sabah dan Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 telah mencetuskan pelbagai reaksi, termasuk dalam kalangan ahli parti sendiri.

Ketua Penerangan UMNO Sabah merangkap Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir menjelaskan bahawa kenyataan tersebut bukan satu lawak atau gurauan politik, tetapi merupakan satu strategi komunikasi politik yang terancang dan bijak.

Menurut beliau, kenyataan Bung Moktar bertujuan untuk membentuk sentimen rakyat, menguji reaksi politik, serta menguasai semula naratif media menjelang PRN akan datang.

“Dengan membuka wacana tentang keterbukaan terhadap kerjasama, khususnya dengan gabungan yang kini menguasai kerajaan Persekutuan, UMNO Sabah sedang menghantar mesej jelas bahawa parti ini kekal relevan, fleksibel, dan strategik dalam pendekatan politiknya,” katanya.

Tambah Suhaimi, strategi yang dikenali sebagai agenda setting dalam dunia sains politik itu bertujuan mengalihkan tumpuan media dan rakyat daripada isu dalaman parti kepada kemungkinan kerjasama masa depan yang menjanjikan kestabilan dan harapan baharu.

Beliau turut menjelaskan bahawa ungkapan seperti “pintu rundingan sentiasa terbuka” bukanlah satu komitmen rasmi, tetapi satu alat komunikasi strategik untuk menilai sentimen akar umbi, membuka ruang rundingan, serta mencipta kelebihan dalam rundingan politik yang akan datang.

“Soal sama ada kerjasama ini akan berlaku atau tidak adalah perkara kedua. Yang penting sekarang ialah UMNO Sabah telah kembali dalam radar politik nasional — dalam perbualan media, perhatian rakyat, dan pertimbangan parti-parti lain,” jelas Suhaimi lagi.

Beliau turut menyifatkan bahawa dalam landskap politik hari ini, persepsi merupakan senjata utama, dan siapa yang mampu menguasainya akan memacu momentum menjelang pilihan raya.

“Politik bukan tentang menunggu lampu hijau. Pemimpin sebenar ialah mereka yang berani mencipta jalan baharu. Dan hari ini, UMNO Sabah sedang merintis laluan itu di bawah kepimpinan Datuk Seri Bung Moktar,” katanya mengakhiri kenyataan. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit