Isu Poster PN: Dr Asyraf Seru Semua Pihak Budayakan Politik Matang, Sederhana
TAPAH, 16 April – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyeru semua pihak untuk membudayakan politik matang dan sederhana terutamanya pada musim berkempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Ujarnya, tempoh kempen sepatutnya dijalankan dengan penuh berhikmah tanpa memperlekehkan, meremehkan ataupun merendahkan calon mahupun pihak lawan.
“Ini bukan kali pertama, di Nenggiri pun mereka melakukan perkara yang sama. Jadi bagi kita, walaupun mereka minta maaf… kalau kita tidak bersuara, itulah pendekatan yang mereka gunakan. Jadi, saya mengharapkan agar kita berkempen secara sihat. Apa yang paling penting, tidak perlu kita memperlekeh, meremehkan, mengata parti lawan ataupun calon lawan.
“Kita nyatakan apa yang kita lakukan dan kita laksanakan. Kita menjelaskannya fakta, bukan auta. Jadi, sebab itu kita kena membudayakan politik matang, sederhana dan boleh memanusiakan manusia. Bukan politik berantakan yang akhirnya merugikan semua pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sejurus selepas program Taqarrub di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Simpang Tiga, di sini, malam tadi yang turut dihadiri oleh calon Barisan Nasional (BN), Dr Ustaz Yusri Bakir.
Mengulas lanjut, beliau turut mengingatkan Perikatan Nasional (PN) untuk lebih berhemah ketika berkempen tanpa menyentuh soal peribadi calon mahupun parti pihak lawan.
“Kita perlu ingat bahawa kita berada di sini hanya pada tempoh pilihan raya. Selepas ini, masing-masing akan meninggalkan mereka. Takkan kita nak meninggalkan bekas-bekas yang akhirnya menyebabkan masyarakat tempatan bergaduh sama sendiri? Jadi, apakah kita nak menanggung segala bebanan dosa kerana melakukan kemungkaran sedemikian rupa?
“Saya minta mereka ini supaya mereka lebih berhemah. Kita tak sentuh pun soal peribadi calon mereka. Bagi kita, calon kita yang terbaik… maka kita promosikanlah calon kita. Kita kata parti kita yang terbaik… maka parti kitalah yang dipromosikan. Tidak perlu untuk kita meremehkan parti mereka,” katanya lagi.
Pada Ahad media melaporkan calon PN telah menggunakan gambar pemimpin UMNO/BN tempatan sebagai bahan kempen mereka tanpa sebarang kebenaran.
Berdasarkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Temoh, isteri kepada pemimpin tersebut berkata suaminya memegang jawatan dalam PDM BN Temoh Stesen.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian untuk PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon daripada tiga parti pada 26 April ini.
Dr Ustaz Yusri Bakir yang mewakili BN merupakan bekas pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Ipoh akan berhadapan dengan dua lagi calon daripada Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman