Amal Politik Matang, Tiada Masalah Dengan Calon Lawan – Dr Ustaz Yusri

TAPAH, 16 April – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Dr Ustaz Mohamad Yusri Bakir memaklumkan beliau sentiasa mengamalkan konsep politik matang pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) ini.

Beliau yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Tapah berkata ini kerana tiada isu melibatkan dirinya dan calon Perikatan Nasional (PN) apatah lagi beberapa kali mereka bertembung ketika masing-masing melakukan kempen.

“Biasalah kebetulan ada dua, tiga kali kami bertembung pagi tadi pun saya sempat ziarah orang meninggal.

“Alhamdulillah saya amal politik yang matang duduk bersama-sama tidak ada masalah, tiada isu.

“Penyokong pun tidak ada masalah. Saya ingat lima hari kita kempen tak ada isu kalau ada bertembung dan sebagainya kerana kita kawan,” katanya.

Dr Ustaz Yusri berkata demikian ketika ditemui media selepas bersama pengundi di Dewan Serbaguna Air Kuning, di sini pagi tadi.

Beliau dalam pada itu turut sama optimis dengan sokongan pengundi muda terhadapnya berdasarkan reaksi diberikan mereka

“Nampak bagus, mereka insya-Allah bersama-sama dengan kita kerana apabila berjumpa mereka memberikan respon yang baik.

“Juga pelbagai lapisan umur serta kaum Melayu Cina, India, orang asal dan lain-lain. Alhamdulillah dengan penerimaan itu,” ujar beliau.

Untuk rekod calon BN, Dr Ustaz Yusri berdepan dengan dua saingan antaranya daripada Abdul Muhaimin Malek (Perikatan Nasional) dan Bawani KS (Parti Sosialis Malaysia).

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan penyandangnya Allahyarham Ishsam Shahruddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah meninggal akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu.

Untuk rekod kerusi DUN Ayer Kuning mempunyai seramai 31,897 pengundi berdaftar, terdiri daripada 31,315 pengundi biasa dan 582 anggota polis serta pasangan mereka.

Daripada jumlah itu sebanyak 45.9 peratus daripada keseluruhan pemilih merupakan individu berusia antara 18 hingga 39 tahun. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit