Tun Abdullah Meninggal Dunia: Satu Kehilangan Besar Buat Negara – Tok Mat

KUALA LUMPUR, 15 April – Timbalan Presiden UMNO merangkap Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan pemergian Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi yang kembali ke rahmatullah pada jam 7.10 malam tadi sebagai satu kehilangan buat rakyat Malaysia.

Beliau turut melahirkan rasa dukacita atas kehilangan Allahyarham berikutan pimpinan dan khidmat baktinya kepada negara.

“Saya merasa amat dukacita di atas pemergian Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Malaysia kehilangan seorang anak watan yang penuh semangat semasa menjadi pemimpin negara,” ujarnya ketika ditemui pemberita di pekarangan Institut Jantung Negara (IJN) di sini semalam.

Tambah beliau, jasa-jasa dan khidmat bakti Allahyarham Tun Abdullah kepada tanah air tidak akan dilupakan.

“Kita ucapkan banyak terima kasih dan kita berdoa bersama agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman, Insya-Allah,” katanya.

Tun Abdullah, atau lebih dikenali sebagai ‘Pak Lah’ memegang jawatan sebagai Perdana Menteri dari tahun 2003 hingga 2009, menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad, sebelum menyerahkan tampuk kepimpinan kepada Datuk Seri Najib Razak.

Allahyarham bertanggungjawab memperkenal Islam Hadhari yang memfokus untuk meningkatkan pembangunan dan mutu kehidupan sesebuah masyarakat secara keseluruhan, dengan memberi penekanan kepada penguasaan ilmu dalam pelbagai bidang dan pembangunan modal insan. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit