UMNO Kuat Kerana Akar Umbi, Persidangan Cawangan Wadah Penting – Shamsulkahar
PUTRAJAYA, 15 April – UMNO kekal sebagai sebuah parti yang tersusun dan mantap dari segi organisasinya sejak penubuhan, bermula di peringkat cawangan, bahagian, negeri sehinggalah ke Majlis Kerja Tertinggi di peringkat pusat.
Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli berkata, kekuatan UMNO terletak pada akar umbinya dan mesyuarat cawangan memainkan peranan penting dalam memastikan suara ahli didengari serta segala permasalahan di peringkat bawah dapat ditangani dengan berkesan.
“Mesyuarat cawangan UMNO adalah sangat penting kerana di sinilah tempat untuk ahli menyuarakan pandangan dan permasalahan. Ini termasuk hal-hal berkaitan penambahan keahlian, pendekatan baharu serta sumbangan idea daripada ahli yang terpelajar.
“Jadikanlah mesyuarat cawangan sebagai teras. Keluar beramai-ramai menghadiri persidangan kerana inilah kekuatan sebenar UMNO iaitu perpaduan di peringkat akar umbi. Persidangan cawangan perlu dijadikan sebagai medium untuk memperkukuh parti dengan penyertaan aktif semua ahli demi memastikan UMNO kekal relevan dan berdaya saing dalam landskap politik tanah air.
“Kita harap semua ahli terus berpegang teguh kepada slogan ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’. Inilah rahsia kejayaan lebih 61 tahun pentadbiran negara di bawah Barisan Nasional (BN) sebelum ini,” katanya kepada UMNO Online, di sini.
Shamsulkahar turut menegaskan bahawa persoalan dan isu yang dibangkitkan di peringkat cawangan perlu diambil perhatian serius demi memastikan perpaduan terus kukuh dan UMNO kekal unggul.
“Segala isu dan cadangan dari peringkat bawah perlu diketengahkan dan diusulkan. Ini penting bagi memperkukuh politik pembangunan dan menjamin kejayaan parti dalam jangka masa panjang,” ujarnya.
Beliau menyeru semua ahli UMNO untuk terus bersatu hati dalam usaha memperkasakan parti demi masa depan yang lebih gemilang.
Mesyuarat cawangan UMNO yang berlangsung setiap tahun merupakan antara komponen penting dalam proses demokrasi dalaman parti itu, yang menjadi asas kepada pemilihan pimpinan dan hala tuju UMNO secara menyeluruh.
Persidangan cawangan UMNO berlangsung sehingga 25 Mei yang akan disusuli mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian, Wanita UMNO Bahagian, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian bermula 9 Jun hingga 27 Julai.
Menyusul kemudian ialah Perhimpunan Agung UMNO akan diadakan dari 20 Ogos hingga 23 Ogos 2025. – UMNO Online