TVET Jadi Pilihan Utama Kerjaya: Permohonan Julai 2025 Kini Dibuka – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 14 April – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga merupakan Presiden UMNO dan Pengerusi Majlis TVET Negara, hari ini mengumumkan bahawa permohonan kemasukan ke program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi Ambilan Perdana Julai 2025 kini dibuka.
Permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui portal rasmi https://mohon.tvet.gov.my bermula 14 April hingga 15 Jun 2025. Bagi kursus yang memerlukan temu duga, tarikh tutup permohonan adalah pada 30 Mei 2025.
Dalam kenyataan beliau, Ahmad Zahid menyeru para lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta anak-anak muda yang masih mencari hala tuju kerjaya agar tidak melepaskan peluang ini.
“TVET hari ini bukan lagi laluan alternatif, sebaliknya merupakan laluan utama untuk membina masa depan yang lebih cerah. Program ini bukan sahaja melatih kemahiran teknikal, malah melengkapkan generasi pelapis negara dengan kepakaran yang selari dengan permintaan industri masa kini,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa bidang-bidang seperti automasi, teknologi hijau, kecerdasan buatan (AI) dan lain-lain kini menjadi antara fokus utama dalam kursus-kursus yang ditawarkan di bawah program TVET.
Menurut Ahmad Zahid lagi, peluang pekerjaan dalam sektor ini amat luas, dengan tawaran pendapatan yang kompetitif.
“Saya percaya bahawa anak muda Malaysia mempunyai potensi luar biasa. Apa yang mereka perlukan hanyalah ruang dan peluang untuk menyerlah, dan TVET adalah salah satu platform terbaik yang tersedia hari ini,” tambah beliau.
Majlis TVET Negara di bawah pimpinan beliau turut beriltizam untuk terus memperkasakan agenda pendidikan vokasional sebagai antara teras pembangunan modal insan negara. – UMNO Online