Tun Abdullah Lambang Keteladanan, Pemimpin Bijaksana Dan Tenang – Onn Hafiz

KUALA LUMPUR, 15 April – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyifatkan pemergian Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai satu kehilangan besar buat negara, menggambarkan beliau sebagai lambang keteladanan, seorang pemimpin yang tenang dalam tutur dan bijaksana dalam tindakan.

Dalam hantaran menerusi laman Facebooknya selepas menziarahi jenazah Allahyarham di Masjid Negara, Onn Hafiz mengenang keperibadian bekas Perdana Menteri ke-5 itu yang disifatkan bukan sekadar seorang pemimpin, tetapi seorang insan berjiwa besar yang menyentuh hati rakyat melangkaui sempadan politik.

“Allahyarham bukan hanya seorang pemimpin, tetapi lambang keteladanan, seorang pemimpin yang tenang dalam tutur, bijaksana dalam tindakan, dan ikhlas dalam setiap amanah yang digalas,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan setinggi-tingginya bagi pihak Kerajaan Negeri dan seluruh rakyat Johor atas segala jasa dan sumbangan Allahyarham kepada negara.

“Keperibadian beliau yang merendah diri dan penuh kasih sayang akan terus dikenang dan menjadi inspirasi. Selamat pulang ke negeri abadi, Pak Lah. Negaramu menangisi pemergianmu, namun warisanmu akan terus hidup dalam sanubari kami,” tambahnya lagi.

Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang dikenali dengan gaya kepimpinan sederhana dan pendekatan diplomatik dalam mentadbir negara, meninggal dunia semalam dan dikebumikan dengan penuh penghormatan di Makam Pahlawan. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit