PRK Ayer Kuning: Majlis Ulama UMNO Anjur Forum Perpaduan Ilmuwan Islam Malaysia 22 April

TAPAH, 15 April – Majlis Ulama UMNO Malaysia (MUUM) memaklumkan penganjuran Forum Perpaduan Ilmuwan Islam Malaysia yang bakal berlangsung pada 22 April 2025 (Selasa) bertempat di Taman Tasek Temoh, Tapah.

Program ini merupakan inisiatif kerjasama antara MUUM, bersama badan agama parti PKR dan AMANAH yang bergabung tenaga melalui Sekretariat Perpaduan Ilmuwan Islam Malaysia.

Menurut Setiausaha Kerja MUUM, Amran Arifin, forum ini bertujuan menghimpunkan para ilmuwan dan tokoh agama bagi memperkukuhkan mesej perpaduan ummah serta menangani isu-isu semasa berkaitan Islam dan Melayu yang sering dimanipulasi sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N48 DUN Ayer Kuning.

“Forum ini akan menampilkan tokoh-tokoh tersohor dalam bidang dakwah dan perpaduan termasuk Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali, Datuk Seri Ahmad Awang, Ustaz Amidi Abdul Manan dan Datuk Dr. Noor Azizan Majid.

“Ia merupakan platform ilmiah yang akan membantu meredakan keresahan masyarakat terhadap isu-isu sensitif yang dibangkitkan sepanjang kempen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujarnya, sekretariat forum ini diterajui oleh Datuk Dusuki Ahmad dan dijangka menarik kehadiran masyarakat setempat serta ahli-ahli akademik dan pendakwah pelbagai latar.

Selain itu, katanya, satu lagi program iaitu Wacana Minda akan diadakan pada 21 April (Isnin) di UiTM Tapah.

“Program tersebut memberi fokus kepada aspek kedaulatan negara dan kesedaran politik dalam kalangan intelektual muda, dengan penyertaan panelis seperti Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan YB Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.”

Amran turut memaklumkan bahawa MUUM akan membantu jentera penerangan Barisan Nasional (BN) Tapah melalui pelaksanaan program-program taqarrub yang telah disusun sepanjang tempoh kempen.

“Pendekatan yang bersifat mendekati masyarakat secara terus ini akan memperkukuh kefahaman rakyat terhadap perjuangan sebenar BN, khususnya dalam mempertahankan agama, bangsa dan negara,” tambah beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit