J-QAF: Jasa Besar Tinggalan Tun Abdullah Jadi Legasi Pendidikan Islam

KUALA LUMPUR, 15 April – Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO (MUU), Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri menyifatkan Malaysia kehilangan seorang negarawan ulung apabila mantan Perdana Menteri ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi menghembuskan nafas terakhir semalam pada usia 86 tahun.

Ujarnya, sepanjang lebih tiga dekad berkhidmat dalam kerajaan sejak tahun 1978, Allahyarham meninggalkan legasi besar, khususnya dalam bidang pendidikan Islam melalui inisiatif J-QAF.

“Bayangkan betapa besarnya pahala dikutip oleh beliau hasil cetusan idea tersebut, yang menjadikan anak-anak Islam sejak 2004 celik al-Quran, memahami asas Fardhu Ain, mempelajari bahasa Arab dan menghidupkan kembali tulisan Jawi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Mohd Khairuddin turut menegaskan bahawa inisiatif J-QAF bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar, malah membuka peluang pekerjaan kepada ribuan graduan pengajian Islam dalam dan luar negara.

Menurutnya, pengumuman dasar tersebut menyaksikan peningkatan ketara jumlah pelajar di fakulti pengajian Islam di universiti-universiti tempatan.

“Kalau mengajar satu ilmu memberikan pahala jariah yang panjang, apatah lagi membina sebuah sistem pendidikan Islam yang melibatkan seluruh rakyat. Ia merupakan satu sumbangan besar yang mengalir pahalanya hingga ke hari akhirat,” tambahnya lagi.

Ujarnya, Tun Abdullah, atau lebih mesra dikenali sebagai Pak Lah, dikenang sebagai pemimpin yang menjadikan kuasa politik sebagai alat untuk berkhidmat dan berjasa kepada rakyat dan umat Islam.

“Jasa ini juga perlu dingati oleh guru-guru J-QAF khususnya kerana ia memberi peluang pekerjaan kepada ribuan lepasan Sarjana Muda Pengajian Islam di seluruh universiti dalam negara dan luar negara.

“Sebaik diumumkan J-QAF saya difahamkan rata-rata fakulti pengajian Islam di universiti tempatan menerima limpahan pelajar kerana melihatkan peluang pekerjaan yang disediakan oleh kerajaan buat mereka.

“Sistem pendidikan Islam ini dan peluang pekerjaan kepada graduan pengajian Islam ini boleh diarusperdanakan dalam pendidikan negara kerana perlembagaan Malaysia meletakkan dengan jelas Islam sebagai agama bagi Persekutuan.
Sekiranya pemimpin terdahulu berjasa meletakkan asas perlembagaan ini yang menjadikan Malaysia sebagai Negara Islam maka tugas pemimpin terkemudian menterjemahkannya dalam bentuk pelaksanaan polisi dan agenda bertindak.”

Ujarnya, demikianlah kuasa politik yang dimiliki apabila dijadikan alat untuk berjasa dan berkhidmat kepada rakyat maka pahalanya mengalir panjang sampai hari Akhirat.

“Moga Allah merahmati Allahyarham Pak Lah dengan rahmat-Nya yang luas, dan moga kita semua mampu mengikuti jejak langkah kebaikan beliau,” katanya lagi.

Jenazah Allahyarham dikebumikan dengan penuh istiadat negara, hari ini. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit