Isu Poster: Tindakan PN Tidak Profesional, Kelirukan Rakyat – Wan Rosdy

TAPAH, 15 April – Tindakan Perikatan Nasional (PN) menggunakan gambar pemimpin UMNO untuk meraih undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning adalah tidak profesional dan mengelirukan rakyat.

Naib Presiden UMNO merangkap Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memaklumkan bahawa beliau telah ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) Simpang Tiga untuk membantu kempen calon Barisan Nasional (BN), Dr Ustaz Yusri Bakir.

“Alhamdulillah, saya bersama dengan rakan-rakan daripada Pahang, datang ke PDM Simpang Tiga untuk membantu calon BN, Dr Ustaz Yusri Bakir, calon nombor 1. Saya ingin mengambil kesempatan untuk menyeru semua pengundi di Ayer Kuning supaya memberi sokongan dan mengundi calon daripada BN supaya beliau dapat meneruskan apa yang telah diusahakan oleh allahyarham Ishsam Shahruddin.

“Beliau seorang yang berkelayakan, mempunyai pendidikan akademik yang tinggi dan suka mendampingi masyarakat. Saya yakin beliau boleh membantu masyarakat di sini setelah dipilih sebagai wakil rakyat untuk apa-apa keperluan, terutamanya kebajikan.

“Saya berpesan kepada beliau bahawa walaupun ini adalah kawasan BN, saya minta beliau teruskan usaha dengan yakin… jumpa seramai mungkin pengundi, boleh beritahu beliau diberi keyakinan, diberi percayaan… apakah yang akan beliau lakukan di kawasan ini. Bukan memberikan janji, tetapi pemikiran, pandangan dan idea. Sekiranya dipilih, beliau akan memudahkan masyarakat di sini juga, kerana sealiran dengan kerajaan Perak yang ada pada hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyelar tindakan PN dan menegaskan bahawa ia telah memberi gambaran kepada tahap pemikiran mereka yang jelas kehilangan modal untuk meraih undi daripada rakyat DUN Ayer Kuning.

“Saya melihat perkara ini tidak betul dan profesional. PN seolah-olah mereka ketandusan idea, pandangan dan fikiran untuk menceritakan kepada pengundi sehingga sanggup menggunakan gambar orang UMNO untuk buat poster raih undi. Kita boleh nilai bahawa mereka boleh sampai ke tahap itu.

“Saya harap khususnya pengundi di Ayer Kuning ini dapat menilai tahap pemikiran mereka. Bagaimana untuk menjadi seorang wakil rakyat? Sedangkan belum diberi kuasa dan dipilih lagi, sudah cuba mengelirukan rakyat menggunakan cara-cara yang jelas bertentangan dengan matlamat dan peraturan sedia ada.

“Ini kerana mereka tidak mendapat kebenaran. Kita semua tahu, untuk menggunakan nama atau gambar orang lain, kita mesti mendapatkan keizinan. Mereka telah melanggar etika dan tatacara pertandingan. Saya harap pengundi dapat melihat bahawa mereka ini kehilangan modal untuk berkempen,” katanya lagi.

Pada Ahad media melaporkan calon PN telah menggunakan gambar pemimpin UMNO/BN tempatan sebagai bahan kempen mereka tanpa sebarang kebenaran.

Berdasarkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Temoh, isteri kepada pemimpin tersebut berkata suaminya memegang jawatan dalam Pusat Daerah Mengundi (PDM) BN Temoh Stesen.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian untuk PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.

PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon daripada tiga parti pada 26 April ini.

Ia membabitkan calon BN mewakili Kerajaan Perpaduan, Dr Ustaz Yusri Bakir yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, 54.

Beliau akan berdepan saingan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tapah, Abd Muhaimin Malek, 44, dan Timbalan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS, 40. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit