Dr. Ustaz Yusri Rakam Takziah Atas Pemergian Pak Lah, Negarawan Luhur
TAPAH, 15 April – Calon Barisan Nasional (BN) bagi N.48 Ayer Kuning, Dr. Ustaz Yusri Bakir, merakamkan ucapan takziah atas pemergian mantan Perdana Menteri Malaysia ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Dalam satu hantaran di media sosialnya, Dr. Yusri menyifatkan Allahyarham sebagai seorang negarawan berjiwa luhur yang tenang dalam kepimpinan serta sentiasa komited memperjuangkan nilai kesederhanaan dan perpaduan dalam masyarakat.
“Pendekatan Islam Hadhari yang diperkenalkan oleh Tun menjadi legasi penting dalam memperkukuh identiti Islam yang progresif di Malaysia. Ia kekal relevan dan terus menjadi rujukan dalam usaha membina negara bangsa yang harmoni,” katanya.
Beliau turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang soleh.
“Al-Fatihah,” tambah beliau.
Jenazah bekas perdana menteri yang lebih dikenali dengan panggilan Pak Lah akan dikebumikan dengan Istiadat Pengebumian Negara di Makam Pahlawan, Masjid Negara selepas solat zuhur.
Terdahulu, jenazah dibawa keluar dari kediamannya di Bait Badawi, persiaran Tuanku Jaafar sekitar 8.10 pagi untuk dikafankan dan disolatkan di Masjid Negara.
Abdullah, 85, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara, malam tadi. – UMNO Online