Ahmad Zahid Terima Kunjungan Pemimpin Hamas, Bincang Isu Palestin
PUTRAJAYA, 15 April — Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menerima kunjungan hormat daripada ahli Biro Politik Hamas, Osama Hamdan di pejabatnya di sini.
Pertemuan yang berlangsung selama satu jam itu menyentuh pelbagai isu berkaitan Palestin, termasuk kekejaman berterusan rejim Zionis terhadap rakyat Palestin dan keperluan mendesak bagi masyarakat antarabangsa mencari penyelesaian yang adil dan menyeluruh di rantau bergolak tersebut.
Dilaporkan, Osama turut menzahirkan penghargaan terhadap sokongan konsisten Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin dan berharap negara ini serta dunia Islam secara keseluruhannya akan terus memperkukuhkan komitmen dalam menangani isu tersebut.
Beliau hadir bersama empat pegawai kanan Hamas, menjadikan lawatan itu sebagai satu platform diplomatik untuk memperkukuhkan hubungan solidariti dan sokongan terhadap Palestin. – UMNO Online