Semangat Perjuangan UMNO Terus Menyala – Rais Yasin
MELAKA, 14 April – Semangat perjuangan UMNO terus menyala bersemarak sebagaimana diterjemahkan dalam Majlis Perasmian Berkelompok Persidangan Tahunan Cawangan-Cawangan UMNO Bahagian Tangga Batu yang berlangsung dengan penuh semangat dan iltizam semalam.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu merangkap Exco Kerajaan Negeri Melaka dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau menegaskan betapa pentingnya untuk terus memperkukuh kesepakatan dan silaturrahim sesama ahli UMNO selain mengingatkan para perwakilan agar menjauhi sifat mengadu domba yang boleh memecahbelahkan perpaduan di peringkat akar umbi.
“Kesepakatan adalah asas kekuatan kita. Jangan sesekali terjebak dengan sikap adu domba yang hanya melemahkan jentera parti. Kita mesti kekal bersatu, istiqamah dan bersedia untuk memperhebatkan gerak kerja demi rakyat,” katanya.
Ujar beliau, kepimpinan UMNO Cawangan perlu tampil sebagai suara rakyat yang sebenar, merentasi sempadan kaum dan agama, demi memastikan perjuangan parti kekal relevan dalam landskap politik tanah air.
Rais turut merakamkan penghargaan kepada semua perwakilan atas komitmen dan kesungguhan mereka dalam memastikan kelangsungan perjuangan UMNO di bahagian tersebut.
“Yakinlah dengan perjuangan suci ini. Kita terus mara demi agama, bangsa dan tanah air. Semoga segala perbincangan dan usul yang dibangkitkan akan membawa manfaat besar, terutama dalam memastikan kemenangan UMNO di Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun hadapan, Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online