Rundingan Tambahan Kerusi Perlu Libat Semua Parti Komponen – Ahmad Zahid

PUTRAJAYA, 14 April – Rundingan bagi meminda kuota satu pertiga atau 35 peratus kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak perlu dilakukan dengan semua parti komponen dalam kerajaan Madani, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, perkara berkenaan juga perlu diteliti di peringkat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Kita belum meneliti (rundingan pinda kuota) kerana penelitian ini harus dilakukan dengan parti-parti komponen di dalam Kerajaan MADANI. Kita juga harus duduk dengan SPR mengenai perkara ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Lebaran Kasih Aidilfitri anjurannya di sini semalam.

Beliau berkata, kesemua pemimpin termasuk daripada pembangkang akan mengadakan perbincangan mengenai perkara tersebut apabila tiba masa yang sesuai.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dilaporkan berkata,rundingan bagi meminda kuota satu pertiga atau 35 peratus kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak perlu dibuat secara bersemuka khususnya dengan Ahli Parlimen di Semenanjung.

Kali terakhir berlaku persempadanan semula kawasan Parlimen adalah pada 2006 dengan Sabah dan Sarawak kini masing-masing mempunyai 25 dan 31 Ahli Dewan Rakyat iaitu 56 kerusi atau kira-kira 25 peratus daripada 222 kerusi.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, BN sentiasa terbuka untuk mengadakan kerjasama dengan parti lain dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Beliau berkata BN telah mengadakan pertemuan dengan Pakatan Harapan (PH) dan parti lain di Sabah mengenai kerjasama itu.

“Sebaik-baiknya semua pemimpin parti apabila dapat mencapai keserasian daripada mana juga parti gabungan, maka pengumuman akan dilakukan secara rasmi. Tetapi setakat ini rundingan tetap diteruskan dengan ramai pihak,” katanya.

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin terdahulu mengumumkan bahawa parti itu akan bergabung dengan PH bagi menghadapi PRN Sabah akan datang. – Bernama

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit