PRN17: BN Umum Kerjasama Dengan PH Sabah

KOTA KINABALU, 14 April – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) Sabah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Bercakap kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya, di sini, malam tadi, beliau yang juga Ketua UMNO Sabah berkata perkara itu dimuktamadkan pada pemukiman UMNO Sabah akhir tahun lalu.

Katanya, perbincangan tidak rasmi dengan pemimpin PH Sabah juga sudah beberapa kali diadakan dan ia akan disusuli perbincangan secara rasmi dalam masa terdekat berikutan jangkaan PRN17 yang sudah semakin dekat.

“Dalam sambutan Hari Raya inipun banyak desas-desus yang kita dengar dan bertanya UMNO Sabah bergabung dengan siapa. Saya kata kita memang bergabung tetapi kita belum maklum.

“Hari ini saya ingin memaklumkan bahawa UMNO Sabah telah mengadakan pemukiman pada satu ketika dan kita memutuskan bahawa akan bergabung dengan PH,” katanya.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, selain PH, BN juga terbuka kepada parti lain yang ada keinginan, kesungguhan dan kesetiaan dalam membentuk kerjasama.

Katanya, BN tidak menutup pintu terhadap parti lain namun menegaskan tidak mahu bekerjasama dengan parti tempatan kerana ada isu tertentu yang membuatkan pihaknya membuat keputusan itu.

“Kita akan pertimbangkan untuk bergabung dengan parti lain dan saya melihat walaupun isu-isu dimainkan oleh pihak-pihak parti lain bahawa parti tempatan perlu diutamakan tetapi sebetulnya kitapun ada isu berhubung dengan parti tempatan ini,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menyebut parti tempatan yang dimaksudkan dan enggan mengulas sama ada Parti Warisan juga bakal menjadi rakan kerjasama BN dan PH nanti.

Katanya, walaupun BN adalah parti nasional, Sabah tetap dipimpin oleh orang Sabah dan kini kebanyakan pemimpinnya adalah orang baharu kecuali Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak yang pernah terbabit dalam UMNO yang lalu.

Ditanya mengenai agihan kerusi, beliau berkata UMNO-BN mahu mengekalkan 41 kerusi yang ditandingi pada PRN16 dan menegaskan parti yang mempunyai ramai penyokong bakal mendapat lebih banyak kerusi.

“Cuma keutamaan kita, parti yang rasa-rasanya mempunyai banyak penyokong, itu yang kita bagi peluang. Sebab pilihan raya ini perlu menang, bukan hanya perlu kuota. Kalau kuotanya kalah semua, lingkuplah,” katanya.

Sementara itu, Bung Moktar yang menyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag mengesahkan akan mempertahankan kerusi berkenaan pada PRN17 nanti. – BHOnline

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit