PRK Indikasi Penting Penentu ‘Mood’ Politik Anak Muda – Nuraini
TAPAH, 14 April – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri Kedah, Nuraini Yusof menyifatkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning sebagai penting kepada indikasi politik semasa khususnya melibatkan anak muda.
Beliau berkata ia juga sebagai penentu dalam meneruskan hala tuju seterusnya buat penduduk di kawasan ini.
“Kita sudah lihat perkara ini di Nenggiri kemudian Mahkota, jadi kita hendak melihat pula perkembangan ataupun reaksi politik di sini.
“Walaupun Parlimen Tapah dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) namun bagi DUN Ayer Kuning kita nak lihat kesinambungan dan perubahan yang memberi manfaat kepada rakyat.
“… kerana kita perlukan seorang pemimpin ataupun tokoh yang mempunyai kebijaksanaan dalam politik, boleh memimpin masyarakat dengan baik, membawa perubahan ke kawasan. Ini sangat penting,” katanya.
Beliau berkata demikian yang ditemui ketika menyantuni penduduk setempat di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sungai Lesung, semalam.
Mengulas lanjut beliau yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Kulim/Bandar Baharu berkata Dr Ustaz Mohamad Yusri Bakir sebagai calon yang mempunyai kredibiliti tersendiri dalam membawa aspirasi perjuangan yang telah dilaksana penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin.
“Pemilihan calon ini juga bukanlah satu proses yang mudah jadi apabila diletakkan seseorang calon itu, sudah pastinya kita sudah ketengahkan personaliti yang terbaik.
“Insya-Allah kita yakin bahawa Dr Ustaz Yusri ini sudah bersedia dan akan menjadi seorang pemimpin yang baik untuk rakyat di kawasan Ayer Kuning,” ujar beliau.
Terdahulu calon BN, Dr Ustaz Mohamad Yusri Bakir berdepan dengan dua saingan antaranya daripada Abdul Muhaimin Malek (Perikatan Nasional) dan Bawani KS (Parti Sosialis Malaysia).
Dr Ustaz Yusri, 54 tahun yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Tapah pertama kali bertanding pada pilihan raya ini, beliau adalah pensyarah di IPG Kampus Ipoh pada 2007 dan berkhidmat di sana sehingga sekarang.
Merupakan Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Anak-Anak Tapah, beliau mempunyai empat anak berusia antara 20 hingga 28 tahun hasil perkongsian hidup dengan isteri, Rosnani Mahmud, 52.
PRK DUN Ayer Kuning ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu selepas menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang. – UMNO Online