PRK DUN Ayer Kuning: Majlis Ulama UMNO Seru Kempen Berakhlak Mulia
KUALA LUMPUR, 14 April – Majlis Ulama UMNO (MUU) menyeru semua petugas dan penyokong parti agar meneruskan legasi kempen Barisan Nasional (BN) dengan pendekatan yang berakhlak mulia, sejajar dengan tuntutan Islam dan nilai-nilai murni sebagai warganegara Malaysia.
Timbalan Pengerusinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menegaskan bahawa kempen harus dijalankan dengan menggunakan kata-kata yang baik, tanpa sebarang cercaan, nista atau maki hamun.
“Sesungguhnya kata-kata yang baik lebih menusuk di hati rakyat. Marilah kita berdakwah dan berkempen dengan adab dan akhlak yang mencerminkan keperibadian Islam sejati,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Dr Ustaz Yusri Bakir atas pemilihan beliau sebagai calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Dr Yusri yang memiliki latar belakang pendidikan Islam dan berkelulusan PhD dalam Falsafah Pendidikan Islam disifatkan sebagai calon yang berwibawa untuk mewakili BN dalam menerajui khidmat kepada masyarakat.
“Dengan pengalaman luas beliau sebagai seorang pendidik dan tokoh ilmuan Islam, saya yakin beliau mampu membawa suara rakyat dengan penuh hikmah dan integriti,” kata Dr Mohd Khairuddin.
PRK DUN Ayer Kuning yang dalam tempoh berkempen kini akan menjalani proses pengundian pada 26 April depan. – UMNO Online