PRK Ayer Kuning: Sokongan Komuniti Cina Tertumpu Kepada BN – Hang Soon
TAPAH, 14 April – Komuniti Cina di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning memberikan sokongan sepenuhnya kepada calon yang dipertaruhkan oleh Barisan Nasional (BN), Dr Ustaz Yusri Bakir.
Timbalan Presiden MCA, Datuk Mah Hang Soon berkata, cabaran utama untuk memenangkan calon BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) ini adalah bagi memastikan seramai yang boleh pengundi keluar mengundi pada 26 April.
“Sokongan Masyarakat Cina kepada calon BN untuk PRK bagi DUN N48 ini sangat baik. Dijangkakan lebih 90 peratus, khususnya di Kampung Coldstream ini.
“Namun, cabaran utama yang kita hadapi pada ketika ini adalah bagaimana untuk kita menggerakkan seramai mungkin pengundi di kawasan… ataupun bagaimana untuk memujuk para pengundi yang tinggal di luar kawasan supaya pulang mengundi.
“Semua ini penting untuk kita memastikan calon yang kita pertaruh di PRK DUN Ayer Kuning, Dr Ustaz Yusri Bakir mendapat sokongan penuh, seterusnya dinobatkan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN),” katanya kepada UMNO Online.
Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya MCA untuk PRK DUN Ayer Kuning berkata, MCA telah memberi komitmen penuh dalam membantu kemenangan calon BN terutamanya sepanjang proses berkempen.
“Ini bukan lagi satu persoalan. MCA sememangnya dari sejak awal lagi dan selama ini… dalam kerjasama yang penuh erat membantu calon BN dalam setiap pilihan raya.
“Maka, tidak perlu dipersoalkan lagi kerana MCA memberikan komitmen sepenuh-penuhnya supaya BN menang dengan bergaya di setiap pilihan raya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa MCA telah turun padang mendekati para pengundi di Kampung Coldstream yang menghadapi masalah ‘badworm’ memandangkan kebanyakan daripada mereka adalah petani kelapa sawit.
“Di Kampung Coldstream ini ada satu masalah iaitu ‘badworm’. Di sini ramai petani yang mengusahakan tanaman kelapa sawit dan ia melibatkan tanaman seluas 10,000 hektar.
“Saya telah mendapatkan pegawai Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dengan sokongan dan kelulusan daripada Menteri Pertanian dan Komoditi, Datuk Seri Johari Ghani.
“Setelah kita turun padang dan mengkaji keadaan ini, akan diusahakan satu samburan untuk membantu para petani terkesan dan menyelesaikan masalah ‘badworm’ ini,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut berharap supaya ramai para pengundi dapat keluar menunaikan tanggungjawab mereka dan memberikan sokongan penuh kepada Dr Ustaz Yusri Bakir.
“Saya berharap agar pengundi dapat keluar beramai-ramai khususnya daripada masyarakat Cina untuk memberikan sokongan penuh kepada calon BN iaitu Dr Ustaz Yusri Bakir bagi memastikan BN memperoleh kemenangan besar pada PRK ini,” katanya lagi.
PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon daripada tiga parti pada 26 April ini.
Ia membabitkan calon BN mewakili Kerajaan Perpaduan, Dr Ustaz Yusri Bakir yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, 54.
Beliau akan berdepan saingan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tapah, Abd Muhaimin Malek, 44, dan Timbalan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS, 40.
PRK kali ini menyaksikan tiada calon Bebas bertanding untuk merebut kerusi disandang Allahyarham Ishsam Shahruddin, 58, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu.
Dr Ustaz Yusri merupakan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah dan berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral Institut Pendidikan Guru (IPG) Ipoh.
Beliau juga merupakan lulusan Ijazah Doktor Falsafah (Pendidikan Islam) dari UPSI dan turut bergiat aktif sebagai Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Kanak-Kanak Tapah.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, Ishsam mewakili BN menang dengan 2,213 majoriti undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).
Daripada 31,897 pemilih berdaftar, seramai 14,527 daripadanya terdiri daripada pengundi berusia antara 18 hingga 39 tahun. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman