PRK Ayer Kuning: Calon BN Terima Sambutan Baik Daripada Para Pengundi

TAPAH, 14 April – Calon Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Dr Ustaz Yusri Bakir menerima sambutan baik daripada pengundi ketika tempoh berkempen yang sedang berlangsung di sini.

Ketika ditemui, beliau berharap agar momentum tersebut dapat diteruskan dan menterjemahkan sokongan mereka menerusi undi yang akan dizahirkan pada 26 April nanti.

“Alhamdulillah, saya rasa bersyukur kerana menerima sambutan yang baik daripada para pengundi di DUN Ayer Kuning di kawasan-kawasan saya lawati.

“Saya harap momentum ini akan berterusan sehingga pada hari akhir tempoh berkempen dan pengundi akan menterjemahkannya dalam tong-tong undi ketika hari pengundian pada 26 April nanti,” katanya ketika ditemui di Program Jualan Rahmah Madani, di sini, petang semalam.

Ujarnya, segala masalah yang dicurahkan oleh para pengundi telah dicatat untuk dipanjangkan kepada pihak yang sepatutnya.

“Masalah ada di mana-mana ada. Tetapi kita buat masa ini, kita mendengar, catat dan rekodkan untuk dipanjangkan kepada pihak-pihak sepatutnya.

“Buat masa ini, saya telah berkempen di Kampung Coldstream dan juga Kampung Ayer Kuning,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut bertekad untuk berkempen dan berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan para pengundi DUN Ayer Kuning memilih BN pada hari pengundian.

“Kita akan teruskan sehingga kempen ini berakhir pada minggu hadapan. Kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan pengundi-pengundi ini memihak kepada BN.

“Harapannya semua pengundi akan memilih BN dan menterjemahkannya pada hari mengundi iaitu pada 26 April nanti,” katanya lagi.

PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon daripada tiga parti pada 26 April ini.

Ia membabitkan calon BN mewakili Kerajaan Perpaduan, Dr Ustaz Yusri Bakir yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, 54.

Beliau akan berdepan saingan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tapah, Abd Muhaimin Malek, 44, dan Timbalan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS, 40.

PRK kali ini menyaksikan tiada calon Bebas bertanding untuk merebut kerusi disandang Allahyarham Ishsam Shahruddin, 58, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu.

Dr Ustaz Yusri sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral Institut Pendidikan Guru (IPG) Ipoh.

Beliau juga merupakan lulusan Ijazah Doktor Falsafah (Pendidikan Islam) dari UPSI dan turut bergiat aktif sebagai Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Kanak-Kanak Tapah.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, Ishsam mewakili BN menang dengan 2,213 majoriti undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).

Daripada 31,897 pemilih berdaftar, seramai 14,527 daripadanya terdiri daripada pengundi berusia antara 18 hingga 39 tahun. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit