Pastikan Legasi Ishsam Diteruskan… Undi, Sokong Calon BN
TAPAH, 14 April – Rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning diseru untuk memberikan sokongan dan mengundi calon Barisan Nasional (BN), Dr Ustaz Yusri Bakir bagi memastikan legasi perjuangan allahyarham Ishsam Shahruddin dapat diteruskan.
Tinjauan UMNO Online mendapati bahawa penduduk di pusat daerah mengundi (PDM) Kampung Coldstream amat menghargai keprihatinan Ishsam sepanjang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan tersebut.
Penduduk PDM Coldstream, Halimah Mohamad, 68 tahun merupakan penyokong setia BN dan beliau berharap agar seluruh penduduk di kawasan DUN Ayer Kuning memberikan sokongan kepada BN untuk terus membantu rakyat.
“Saya memang sokong BN daripada umur 21 tahun sehinggalah berusia 68 tahun sekarang. Tak pernah undi parti lain. Meskipun saya pernah merantau ke Slim dahulu, saya tetap pilih BN.
” ADUN sebelum ini iaitu YB Ishsam Shahruddin memang dekat dengan rumah saya. Beliau kerap turun kawasan termasuklah ke rumah saya dan memberikan bantuan sepanjang berkhidmat.
“Saya harap semua pengundi di DUN Ayer Kuning ini memberikan sokongan kepada calon BN untuk mereka terus berkhidmat di kawasan ini,” katanya kepada UMNO Online.
Sementara itu, Pengerusi Kelab Saudagar Kampung Coldstream, Sam Yong Pan, 53 berkata, beliau yakin bahawa calon BN untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning, Dr Ustaz Yusri Bakir akan menyambung legasi perjuangan allahyarham Ishsam.
“PRK kali ini mesti sokong calon daripada BN, Dr Ustaz Yusri Bakir. Sebelum ini allahyarham Ishsam selalu turun ke Kampung Coldstream ini untuk bantu menyelesaikan pelbagai masalah masyarakat. Tidak mengira apa jenis masalah seperti longkang tersumbat sebelum ini. Ia dapat diselesaikan dengan baik. Ketika mendengar khabar beliau sudah pergi meninggalkan kita, kami berasa amat sedih.
“Saya dah kenal Dr Ustaz Yusri Bakir lama. Saya percaya beliau akan meneruskan apa yang selama ini dilakukan oleh allahyarham Ishsam. Kami akan memberikan sokongan padu kepada calon BN.
“Saya wakil daripada kawasan Kampung Coldstream dan sebagai Pengerusi NGO Kelab Saudagar, memang nampak rakyat di kawasan ini menyokong calon BN kali ini. Pada 20 April ini kami akan menganjurkan jamuan yang akan disertai oleh 2,000 orang. Semua ini akan dilakukan untuk memastikan mereka menyokong calon BN, Dr Ustaz Yusri Bakir,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Coldstream, Chong Yen Kay, 35, berharap agar para penduduk di kawasan tersebut bersatu hati dan mempertahankan perjuangan yang dibawa oleh BN.
“Kita sememangnya akan menyokong penuh calon BN, Dr Ustaz Yusri Bakir. Saya berharap pada kali ini penduduk di Kampung Coldstream bersatu hati dan memberikan sokongan kepada BN.
“Kita kena pertahankan perjuangan dibawa oleh BN agar segala masalah dihadapi rakyat dapat diselesaikan seperti allahyarham Ishsam,” katanya lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian untuk PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 12 dan 22 April ini.
Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula dari tarikh pengisytiharan calon yang bertanding hingga jam 11.59 malam 25 April ini.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, Ishsam mewakili BN menang dengan 2,213 majoriti undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).
Daripada 31,897 pemilih berdaftar, seramai 14,527 daripadanya terdiri daripada pengundi berusia antara 18 hingga 39 tahun. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman