Kerjasama PRN Sabah: UMNO Beaufort Terus Komited Laksana Gerak Kerja

BEAUFORT, 14 April – Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat menegaskan bahawa jentera parti di peringkat bahagian akan terus bekerja keras tanpa mengira kedudukan UMNO dalam landskap politik semasa demi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang.

Beliau berkata, sebagai sebuah parti yang berteraskan perjuangan membela rakyat, UMNO sentiasa bersedia untuk turun padang dan melaksanakan tanggungjawab secara berterusan.

“UMNO adalah parti yang berkhidmat membela rakyat. Maka, kesediaan untuk bekerja harus dilaksanakan sepanjang masa, tidak kira dalam keadaan apa sekalipun,” katanya kepada UMNO Online.

Kenyataan itu hadir susulan pengumuman Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin semalam yang menyatakan bahawa UMNO akan bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi PRN Sabah yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.

Menurut Awang Aslee, kerjasama strategik tersebut tidak harus melunturkan semangat ahli parti, sebaliknya menjadi pemangkin untuk terus memperjuangkan nasib rakyat Sabah.

“Yang penting, kita terus bekerja, menyantuni rakyat dan memastikan perjuangan UMNO tetap relevan dan diterima,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berlainan, beliau memaklumkan bahawa Program Santunan Kasih anjuran Biro Kebajikan UMNO Bahagian Beaufort diteruskan dengan menyantuni keluarga yang bakal melangsungkan majlis perkahwinan di sekitar Kuala Penyu.

“Program ini adalah rutin ini bagi Bahagian Beaufort dan menjadi salah satu inisiatif UMNO di sini dalam membantu meringankan beban keluarga yang ingin mengadakan majlis perkahwinan, terutamanya dari segi sumbangan dan sokongan moral.”

Baru-baru ini, sumbangan prihatin tersebut telah dilaksana kepada dua keluarga di DUN Kuala Penyu iaitu kunjungan pertama dibuat ke rumah Achi Jait di Kampung Linsuk, diikuti dengan lawatan ke rumah Ismain Salleh di Kampung Mansud.

“Program ini jelas menunjukkan komitmen UMNO Bahagian Beaufort dalam memperkukuh hubungan masyarakat serta menyemai semangat kebersamaan dalam setiap detik penting kehidupan masyarakat setempat,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit