PRK Ayer Kuning: Calon BN Terima ‘Tonik’ Teruskan Kempen

TAPAH, 13 April – Memasuki hari kedua kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, calon Barisan Nasional (BN) Dr Mohamad Yusri Bakir menerima suntikan semangat apabila mendapat reaksi positif pengundi di kawasan dikunjunginya.

Antara pengundi yang beliau temui adalah di kawasan Changkat Petai, Tanjong Keramat, Kampung Raya dan Kampung Batu Tiga.

“Alhamdulillah, saya sangat teruja kerana di semua tempat yang saya kunjungi mendapat sambutan yang saya kira satu rangsangan baik kepada kita di pihak BN,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan tinjauan mesra di Pasar Tani Tapah di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Yusri berkata beliau akan melihat keperluan dalam membantu peniaga meningkatkan pendapatan di DUN berkenaan.

“Kita perlu menyediakan prasarana dan sebagainya serta sentiasa berusaha (membantu peniaga). Kerajaan sentiasa berusaha memastikan peniaga ini berada dalam keadaan yang baik,” katanya.

Mengenai cadangan supaya DUN Ayer Kuning dimajukan dalam sektor pertanian khususnya sebagai hab sayur-sayuran menerusi konsep rumah hijau, Mohamad Yusri berkata ia satu cadangan yang baik dalam meningkatkan taraf ekonomi penduduk di daerah Batang Padang, khususnya DUN Ayer Kuning.

Sebelum ini, Bernama melaporkan pemimpin komuniti di DUN berkenaan menyatakan kawasan itu berpotensi dimajukan dalam sektor pertanian sebagai tambah nilai kepada aktiviti perladangan kelapa sawit yang menjadi sumber utama ekonomi penduduk kerana memiliki tanah yang subur.

PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini diadakan berikutan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, 58, pada 22 Februari lepas akibat serangan jantung.

Ia menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohamad Yusri, calon Perikatan Nasional (PN) Abd Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Bawani KS. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit