Majlis Rumah Terbuka Lebaran Kasih Aidilfitri Ahmad Zahid Disambut Meriah
PUTRAJAYA, 13 April – Rumah terbuka sudah menjadi tradisi dan pastinya menjadi tumpuan bukan sahaja masyarakat Islam yang merayakan ketibaan Syawal tetapi juga masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan isteri Datin Seri Hamidah Khamis hari ini mengadakan rumah terbuka di kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri, Sri Satria, Presint 16, bermula jam 8 malam sehingga 11 malam.
Menerusi tinjauan UMNO Online mendapati orang ramai pelbagai kaum telah hadir seawal jam 6 petang lagi.
Pelbagai juadah yang disediakan di khemah tetamu selain untuk beramah mesra dengan kepimpinan tertinggi UMNO.
Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Turut hadir Duta-duta Besar yang berada di Malaysia, kepimpinan tertinggi UMNO dan bahagian serta pengunjung-pengunjung yang turut hadir bagi memeriahkan suasana ini.
Setakat jam 9 malam dianggarkan lebih 20,000 ahli parti dan rakyat pelbagai peringkat hadir memeriahkan majlis rumah terbuka Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah ini dan dijangka akan terus bertambah bagi memeriahkan majlis tersebut.
Dalam majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada semua kanak-kanak yang hadir.
Majlis turut diserikan lagi dengan persembahan lagu raya oleh artis yang dijemput bagi memeriahkan suasana di sini. – UMNO Online