PRK: Kerjasama Kerajaan Perpaduan Kekalkan Penguasaan BN Di Ayer Kuning

TAPAH, 12 April – Gabungan gerak kerja daripada jentera UMNO/Barisan Nasional (BN) dan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan membawa manifestasi sendiri untuk mengekalkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di bawah penguasaan BN.

Calon BN, Dr Ustaz Mohamad Yusri Bakir berkata ini kerana semangat perpaduan tersebut diterjemahkan dalam sesi penamaan calon yang berlangsung hari ini.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah kerana telah selesai dalam proses penamaan calon pada hari ini.

“Insya-Allah gerak kerja telah pun disusun dan akan bekerja keras lagi memastikan komitmen kita untuk berjaya untuk memastikan DUN Ayer Kuning akan tetap di bawah penguasaan BN.

“Kita yakin jentera dari BN dan juga dari Pakatan Harapan (PH) akan membuahkan hasil yang sangat hebat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media usai sesi penamaan calon yang dilaksanakan di Dewan Merdeka, di sini hari ini.

Dr Ustaz Yusri dalam pada itu berkata, fokus beliau kepada isu-isu semasa berkaitan dengan rakyat bagi melaksanakan penambahbaikan di kawasan.

“Kita akan teruskan perkara yang berkaitan dengan keperluan yang dikendaki lagi di Ayer Kuning ini dari masa ke masa, insya-Allah.

“Saya percaya BN akan menjadi pilihan utama kepada penduduk di DUN Ayer Kuning,” ujar beliau.

Terdahulu, sesi penamaan calon selesai pagi tadi apabila menyaksikan beliau berdepan saingan tiga penjuru daripada Abdul Muhaimin Malek (Perikatan Nasional) dan Bawani KS (Parti Sosialis Malaysia).

PRK DUN Ayer Kuning ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu selepas menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.

Ishsam, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah sejak 2018, memenangi kerusi DUN berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan memperoleh majoriti 2,213 undi dalam persaingan lima penjuru. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit