PRK Ayer Kuning: Tugas Kita Adalah Untuk Bekerja Menangkan Calon BN
TAPAH, 12 April – Tugas para jentera adalah untuk memenangkan calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Beliau yang juga Pengerusi BN negeri berkata, kemenangan calon BN ditentukan melalui jumlah kertas undi yang dizahirkan oleh para pengundi, bukannya bergantung kepada jumlah atau saiz bendera dipasang Ketika tempoh berkempen.
“Di atas kertas kita mendengar komen-komen bahawa sepatutnya calon kita, Dr Ustaz Yusri Bakir tidak akan mengalami kesulitan untuk menang. Penganalisis politik juga mengatakan bahawa calon kita boleh menang dengan mudah.
“Tetapi, saya kena ingatkan diri saya dan kita semua untuk tidak terpedaya dengan komen-komen ini. Kita perlu ingat bahawa keputusan pilihan raya tidak berdasarkan kepada bilangan orang yang datang ke sini.
“Keputusan pilihan raya juga tidak dikira berdasarkan kepada bilangan dan saiz bendera yang kita pasang sepanjang tempoh berkempen. Harus diingat bahawa keputusan pilihan raya pada 26 April ini dikira berdasarkan jumlah kertas undi yang dizahirkan oleh para pengundi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena majlis Amanat Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang diadakan di sini malam tadi.
Ujarnya, seluruh jentera perlu berusaha sebaik mungkin untuk meraih undi bagi BN dan ia perlu dimulakan dengan memujuk ahli keluarga.
“Kita tidak boleh bercakap besar, tidak boleh mendabik dada sehingga 26 April ini terbukti bahawa kertas undi BN jauh lebih banyak daripada kertas undi kepada pihak lawan kita tidak kira sama ada Perikatan Nasional (PN) ataupun PSM.
“Jika di bawah khemah ini ada yang namanya terdapat di dalam daftar pemilih untuk DUN Ayer Kuning ini, maka tanggungjawab kita adalah untuk memastikan undi dizahirkan kepada BN. Kedua, jika kita sudah ada pasangan hidup, pastikan mereka turut memberi undi kepada BN.
“Tak cukup dengan itu, tolong cari pengaruh di kalangan orang di dalam rumah kita, jiran kita supaya turut memberikan undi kepada BN pada 26 April ini demi kebaikan masyarakat di kawasan DUN Ayer Kuning ini,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan parti komponen BN yang tidak pernah berhenti membantu untuk memenangkan calon parti.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan parti komponen BN meliputi UMNO, MCA, MIC dan Friends of BN yang tidak pernah jemu berganding bahu untuk memenangkan calon kita di setiap siri pilihan raya.
“Sekarang ini, tugas hakiki kita adalah untuk memenangkan calon BN di PRK DUN Ayer Kuning ini. Tanggungjawab kita adalah untuk tolong, membantu, merayu dan membawa para pengundi yang berada di kawasan ini. Bisikkan kepada mereka untuk mengundi BN.
“Itulah kerja yang paling besar untuk rakan-rakan jentera. Kita akan lakukannya mulai esok sehingga 26 April nanti. Saya ingin mengucapkan terima kasih kerana saya sangat menghormati, menghargai kepada semua jentera khususnya dari Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di atas semua pengorbanan,” katanya lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian untuk PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 12 dan 22 April ini.
Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula dari tarikh pengisytiharan calon yang bertanding hingga jam 11.59 malam 25 April ini.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, Ishsam mewakili BN menang dengan 2,213 majoriti undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).
Daripada 31,897 pemilih berdaftar, seramai 14,527 daripadanya terdiri daripada pengundi berusia antara 18 hingga 39 tahun. – UMNO Online