PRK Ayer Kuning: Saarani Seru Rakyat Pilih Calon BN

TAPAH, 12 April – Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad menyeru rakyat supaya memilih calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Saarani yang juga Pengerusi BN Perak berkata, parti tersebut telah berjaya ‘membirukan’ pekan Tapah pagi tadi ketika proses penamaan calon yang berjalan di Dewan Merdeka.

“Hari ini kita telah membawa calon ke pusat penamaan. Ribuan penyokong BN bersama kita untuk memberikan sokongan moral kepada calon. Bukan itu sahaja, rakan-rakan komponen BN dan juga Pakatan Harapan (PH) turut bersama dengan kita. Terima kasih saya ucapkan.

“Kita telah berjaya ‘membirukan’ pekan Tapah pada pagi tadi. Alhamdulilah, Dr Ustaz Yusri Bakir telah berjaya menjadi calon nombor satu pada PRK ini diikuti dengan calon Perikatan Nasional (PN) nombor dua dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) nombor tiga.

“Diharapkan itulah keputusan pilihan raya yang kita akan perolehi… calon BN tetap menjadi pilihan nombor satu oleh rakyat DUN Ayer Kuning. Kita nak menang dengan majoriti yang banyak, meninggalkan calon PN dan PSM,” katanya.

Beliau berkata demikian majlis Jamuan Makan Tengahari dan Beramah Mesra Bersama Timbalan Perdana Menteri di PDM Changkat Petai, di sini, sebentar tadi.

Ujarnya, para jentera dan penyokong BN perlu berusaha untuk menambah undi bagi calon parti agar dapat memperoleh kemenangan dengan majoriti yang lebih besar.

“Kita bukan nak menang sebagai nombor satu sahaja… tetapi kita nak menang dengan majoriti yang besar. Jadi, para hadirin yang berada dengan saya pada ketika ini, jangan lupa undi calon BN pada 26 April ini.

“Tak cukup dengan itu, pastikan ahli keluarga, sahabat handai dan jiran-jiran kita turut memberikan undi kepada BN. Mungkin PRK ini adalah masa yang terbaik untuk memperbetulkan kesilapan mereka memilih sebelum ini.

“Mungkin mereka keliru dengan warna biru PN. Calon yang kita ketengahkan pada kali ini adalah orang tempatan, ada pelajaran dan disenangi masyarakat setempat. Saya yakin beliau akan bertugas dengan baik,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut berharap agar para pengundi tidak terpedaya dengan dakyah yang dikeluarkan oleh pihak lawan untuk tidak keluar mengundi dengan propaganda ‘BN sudah pasti akan menang’.

“Jangan kita terpedaya apabila ada orang berkata ‘tak payah keluar mengundi sebab BN sudah pasti akan menang’. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak akan kira berapa orang yang hadir ke majlis ini pada hari ini. Mereka akan kira jumlah undi kepada BN yang terdapat dalam tong undi.

“Kepada para jentera, marilah kita berusaha bersungguh-sungguh memenangkan calon BN pada PRK Ayer Kuning ini. Ingat, sasaran kita adalah 18,000 majoriti. Ini adalah tugas kita bersama,” katanya lagi.

PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon daripada tiga parti pada 26 April ini.

Ia membabitkan calon BN mewakili Kerajaan Perpaduan, Dr Ustaz Yusri Bakir yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, 54.

Beliau akan berdepan saingan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tapah, Abd Muhaimin Malek, 44, dan Timbalan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS, 40.

PRK kali ini menyaksikan tiada calon Bebas bertanding untuk merebut kerusi disandang Allahyarham Ishsam Shahruddin, 58, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit