PRK Ayer Kuning: Gunakan Tempoh Berkempen Sebaiknya, Elak Provokasi – Ahmad Zahid
TAPAH, 12 April – Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap agar tempoh berkempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning dapat digunakan sebaiknya.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, beliau akan membawa pembangunan di seluruh kawasan Ayer Kuning sekiranya Dr Ustaz Yusri Bakir diberi mandat untuk mengemudi kawasan tersebut.
“Pada hari ini banyak isu yang dibawa. Jadi, jangan risau. Mereka (Perikatan Nasional (PN) akan mencari kelemahan-kelemahan kita. Insya-Allah, saya yakin bahawa Dr Ustaz Yusri Bakir adalah pilihan terbaik untuk UMNO/BN.
“Sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri KKDW, saya berjanji… Insya-Allah sekiranya beliau menang dengan cemerlang, apa yang beliau minta untuk Pembangunan seluruh penduduk DUN Ayer Kuning ini… atas kebenaran Menteri Besar, saya akan bawa ke sini.
“Kita pernah kalah di pusat daerah mengundi (PDM) Changkat Petai ini. Insya-Allah apabila kita mngemukakan calon terbaik mewakili UMNO/BN yang memerintah negeri dan kawasan ini… kita akan menang,” katanya.
Beliau berkata demikian majlis Jamuan Makan Tengahari dan Beramah Mesra Bersama Timbalan Perdana Menteri di PDM Changkat Petai, di sini, sebentar tadi.
Ujarnya, beliau turut meminta para jentera bekerja sehabis baik terutamanya untuk menepis isu yang dimainkan oleh pihak lawan sepanjang kempen berlangsung.
“Ada sahaja isu yang dibangkitkan oleh pihak lawan terutamanya sepanjang tempoh berkempen ini. Insya-Allah, saya minta para jentera dari seluruh pelusuk Malaysia yang berkampung di sini untuk bidas semua isu tersebut.
“Tentunya dalam tempoh dua minggu ini, gunakanlah masa ini sebaik mungkin. Jangan kita memprovokasi pihak lawan kerana itu adalah kepakaran mereka. Saya yakin dengan barisan jentera dari pelbagai sayap dan parti komponen.
“Apa yang penting, kita kena pastikan bahawa calon yang kita ketengahkan ini pada akhirnya diiktiraf sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning,” katanya lagi.
Terdahulu, beliau turut merasmikan majlis penutup program ‘Parenting Skills powered by KEMAS’ dan turut menitipkan pesan kepada para hadirin untuk memilih calon BN bagi menyambung kesinambungan gerak kerja allahyarham Ishsam Shahruddin di Ayer Kuning.
“Berbalik kepada calon kita yang mempunyai didikan agama baik, berkelulusan akademik cemerlang… Insya-Allah beliau akan meneruskan tugas-tugas yang dibuat oleh allahyarham Ishsam Shahruddin. Sebagai Timbalan Perdana Menteri dan anak Negeri Perak, kalau beliau menang dengan cemerlang… Insya-Allah saya akan membantu beliau untuk membawa pembangunan di kawasan Ayer Kuning ini.
“Oleh itu, jangan salah pilih. Insya-Allah beliau akan bawa kemajuan di seluruh kawasan Ayer Kuning ini. Jangan lupa 26 April nanti kita pilih calon nombor 1 iaitu Dr Ustaz Yusri Bakir. Jadi, ingatlah pesanan saya, Insya-Allah saya tidak akan melupakan penduduk dan pengundi-pengundi Ayer Kuning untuk dibawa pembangunan dan kemajuan di kawasan ini,” katanya lagi. – UMNO Online