Kick Off Jentera Puteri UMNO BN Gempur Ayer Kuning

TAPAH, 12 April – Permulaan penuh semangat dan iltizam tercipta apabila Jentera Puteri Barisan Nasional (BN) secara rasmi memulakan gerak kerja bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, hari ini.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi menyatakan majlis ‘kick off’ yang berlangsung ini penuh simbolik sebagai lambang kesiapsiagaan dan kesatuan hati seluruh jentera Puteri dari segenap pelusuk tanah air.

Ujarnya, kehadiran mereka membuktikan komitmen padu untuk memastikan kemenangan terus berpihak kepada BN di Ayer Kuning.

“Kami datang bukan sekadar untuk berkempen, tetapi untuk mendengar suara rakyat, memahami realiti kehidupan mereka, dan menawarkan solusi yang relevan demi masa depan yang lebih sejahtera,” ujar beliau.

Jelasnya, kekuatan sebenar Puteri BN bukan hanya terletak pada bilangan, tetapi pada kesatuan tekad dan semangat juang yang dibawa oleh setiap anggotanya.

“PRK ini adalah ujian, namun ia juga peluang untuk kita membuktikan bahawa Puteri Barisan Nasional sentiasa berada di barisan hadapan dalam perjuangan politik tanah air. Kami percaya, dengan semangat dan solidariti yang jitu, kemenangan akan berpihak kepada kita.”

Dalam majlis tersebut, beliau turut menyeru kepada seluruh pengundi muda, khususnya wanita muda di DUN Ayer Kuning, agar bangkit bersama Puteri BN membawa suara generasi baharu ke DUN.

“Dengan penuh rendah hati, kami menyeru seluruh pengundi muda, khususnya wanita muda, untuk bersama kami dalam membawa perubahan. Inilah masanya untuk kita bersatu dan terus mara demi masa depan yang lebih gemilang,” katanya lagi.

Majlis tersebut diadakan di Arena TN50 di sini selepas majlis penamaan calon hari ini.

Proses penamaan calon bagi PRK ini melibatkan calon BN, Dr Ustaz Yusri Bakir, 54, yang menghadapi saingan tiga penjuru daripada Abdul Muhaimin Malek (Perikatan Nasional) dan Bawani KS (Parti Sosialis Malaysia).

PRK ini diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit