‘Ketua Pembangkang DUN Perak Tunjuklah Kematangan Politik’
KUALA LUMPUR, 11 April – Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Sollehin Mohamad Tajie membidas ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang memainkan sentimen umur calon menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Menerusi kenyataan yang dikongsi di Facebook, beliau berkata sebagai ketua pembangkang, Razman Zakaria sewajarnya menunjukkan sisi kemantangannya dalam berpolitik.
“Ini ketua pembangkang negeri Perak? Bukan calon Maharaja Lawak?
“Ingatkan bila ketua pembangkang buat hantaran di media sosial, adalah buah fikiran, pelan pembangunan, cadangan nak bantu rakyat susah. Sekurang-kurangnya tunjuklah kematangan politik.
“Rupanya… sibuk main isu umur. Umur 54 muda dari 53 katanya. Ini ‘level’ ketua pembangkang ke ‘level’ budak surau yang baru pandai buat lawak?” katanya.
Sementara itu, beliau yang juga Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia turut memaklumkan bahawa ini berbeza dengan pendekatan UMNO yang seringkali membawa agenda prihatin rakyat.
“Sementara pihak sana buat lawak basi, kami di UMNO/Barisan Nasional turun padang setiap hari, bantu selesaikan masalah rakyat, bawa pelaburan, kukuhkan ekonomi tempatan dan cari jalan majukan Perak.
“Saya siap buat kelas ‘Bagaimana Nak Jadi Pembangkang Berkualiti’ dalam Live Tiktok sebab terlalu lemahnya blok pembangkang di Malaysia ni.
“Tak pelik kenapa Ayer Kuning dan kawasan-kawasan lain makin celik. Orang tak nak lagi pemimpin yang sibuk cari ‘likes’ tapi kosong idea. BN terus bekerja. Yang lain terus berjenaka. Pilihan di tangan rakyat. Buatlah pilihan yang waras,” ujarnya.
PRK DUN Ayer Kuning ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu selepas menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
Ishsam, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah sejak 2018, memenangi kerusi DUN berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan memperoleh majoriti 2,213 undi dalam persaingan lima penjuru.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh bagi penamaan calon PRK DUN Ayer Kuning pada 12 April depan, diikuti undi awal pada 22 April, manakala tarikh mengundi ditetapkan pada 26 April membabitkan 31,897 pengundi berdaftar.
BN mengetengahkan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Dr Ustaz Mohamad Yusri yang berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah dalam Pendidikan Islam dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai calon.
Bekas guru itu kini bertugas sebagai Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh. Beliau aktif dalam aktiviti kemasyarakatan termasuk sebagai Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Anak-anak Tapah, Ahli Majlis Daerah Tapah dan pernah menganggotai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK). – UMNO Online