Jadikan Persidangan Cawangan UMNO Untuk Perkukuh Permuafakatan – Jamal Nerubi

PAPAR, 11 April – Ketua UMNO Bahagian Papar, Datuk Jamal Nerubi mengucapkan selamat bersidang kepada seluruh perwakilan UMNO dari semua peringkat Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri sempena musim persidangan parti yang berlangsung dari 7 April hingga 25 Mei.

Dalam satu kenyataan, beliau menyeru agar musim persidangan tahunan ini dijadikan sebagai medan terbaik untuk memperkukuhkan permuafakatan dan memperbaharui iltizam perjuangan di kalangan ahli-ahli parti di seluruh negara.

“Jadikan persidangan ini ruang terbaik untuk memperkukuh permuafakatan dengan semangat juang yang kental bagi memastikan UMNO terus bersemarak dan relevan dalam landskap politik tanah air,” ujar beliau.

Jamal turut menegaskan bahawa kekuatan UMNO bukan hanya bergantung kepada kepimpinan di peringkat atasan, tetapi lebih penting lagi kepada perpaduan dan keutuhan akar umbi yang menjadi nadi sebenar parti.

Beliau turut menekankan bahawa perwakilan di semua peringkat harus menggunakan platform persidangan ini untuk menyuarakan pandangan secara matang dan membina, demi memperkasa hala tuju dan strategi parti dalam menghadapi cabaran politik semasa dan akan datang.

“Kita mahu setiap cawangan menjadi pusat gerakan yang aktif dan efektif. Setiap suara, cadangan dan pandangan daripada akar umbi amat penting dalam usaha membentuk kekuatan kolektif yang mampu melonjakkan kembali prestasi parti di semua peringkat,” katanya lagi.

Tambah beliau, persidangan tahunan ini bukan sekadar acara rutin, tetapi ruang untuk menilai semula kekuatan dan kelemahan, memperkukuh organisasi serta merancang gerak kerja secara lebih tersusun dan berfokus.

“UMNO perlu tampil dengan wajah yang lebih bersatu, progresif dan dekat dengan rakyat. Ini hanya boleh dicapai jika kita bersatu hati dan bergerak ke hadapan dengan satu tekad yang sama untuk mengangkat semula martabat UMNO sebagai wadah perjuangan bangsa dan negara,” katanya.

Jamal turut mengajak semua ahli UMNO, khususnya di Bahagian Papar, agar terus memainkan peranan aktif dalam memupuk semangat setiakawan, menjaga nama baik parti serta bersedia menjadi agen perubahan yang positif dalam komuniti masing-masing. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit