Aidilfitri Dan Persidangan UMNO, Eratkan Silaturahim Akar Umbi – Rosni Zahari

TAPAH, 11 April – Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Rosni Zahari memaklumkan bahawa persidangan cawangan UMNO yang sedang berlangsung di seluruh negara turut diserikan dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri, sekali gus mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan ahli parti.

Menurut beliau, persidangan tahunan ini sudah menjadi rutin kepada setiap ahli UMNO dan kebetulan tahun ini ianya diadakan dalam suasana perayaan.

“Persidangan cawangan UMNO telah bermula dan ianya menjadi rutin ahli setiap tahun dan kebetulan pula persidangan ini pada musim Hari Raya Aidilfitri.

“Saya dapati banyak cawangan-cawangan UMNO telah mengadakan persidangan sambil menyambut Aidilfitri untuk mengeratkan hubungan silaturahim sesama ahli.

“Kepada cawangan-cawangan UMNO yang akan mengadakan persidangan ditempat masing-masing, saya ucapkan selamat bersidang dan semoga perjalanan mesyuarat ini berjalan dengan lancar serta berharap akar umbi parti dapat melaksanakan tanggungjawab masing-masing kepada parti keramat UMNO,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Ujar Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran itu, semua pimpinan dan ahli di peringkat akar umbi perlu terus bersatu hati, memperkukuh iltizam, dan tidak mudah terpengaruh dengan unsur yang boleh memecah-belahkan kesatuan parti.

Terdahulu selain Persidangan Tahunan UMNO Cawangan, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi turut sama mengumumkan tarikh untuk mengadakan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian pada 9 Jun hingga 27 Julai 2025.

Seterusnya, Perhimpunan Agung UMNO akan diadakan dari 20 Ogos hingga 23 Ogos 2025. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit