Tarif AS: Kerajaan Akan Laksana Inisiatif, Pastikan Ekonomi Kukuh – Azalina
KUALA LUMPUR, 10 April – Kerajaan akan melaksanakan inisiatif dan program untuk memastikan ekonomi negara kekal kukuh meskipun telah dikenakan tarif timbal balik oleh Amerika Syarikat (AS).
Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan beliau telah menghadiri Mesyuarat Mingguan Jemaah Menteri pada Isnin.
“Menghadiri Mesyuarat Mingguan Jemaah Menteri yang telah dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. Turut hadir kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof bersama menteri-menteri kabinet serta Tan Sri Ketua Setiausaha Negara.
“Tentunya antara perkara utama yang dibincangkan adalah terkait dengan tarif dikenakan oleh AS kepada banyak negara di dunia yang semestinya akan memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi global,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia berkata, Malaysia akan menjalankan tanggungjawab sebagai teraju utama negara-negara anggota ASEAN untuk mencari jalan penyelesaian terbaik bagi isu tersebut.
“Namun, Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri akan melaksanakan inisiatif dan program untuk memastikan ekonomi Malaysia kekal kukuh bagi menjamin kesejahteraan rakyat serta negara.
“Selain itu, Malaysia juga bakal menjalankan tanggungjawab sebagai teraju utama di kalangan negara-negara anggota ASEAN dalam mencari penyelesaian terbaik susulan kenaikan tarif oleh AS selaras dengan peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025,” katanya lagi.
Pada 3 April, media melaporkan AS mengenakan tarif timbal balik 24 peratus ke atas import dari Malaysia dalam gelombang perang perdagangan global.
Antara tarif timbal balik yang tinggi dikenakan terhadap China sebanyak 34 peratus, Kesatuan Eropah 20 peratus, Vietnam 46 peratus, Sri Lanka 44 peratus, Kemboja 49 peratus, Laos 48 peratus dan Myanmar 44 peratus.
Walau bagaimanapun, Donald Trump pada Rabu menurunkan kadar tarif baharu ke atas import daripada kebanyakan rakan dagang AS kepada 10 peratus selama 90 hari untuk membenarkan rundingan perdagangan dengan rakan dagangnya.
Trump mengumumkan jeda itu beberapa jam selepas barangan dari hampir 90 negara dikenakan tarif timbal balik yang lebih ketat oleh AS.
Bagaimanapun, di sebalik perkembangan terbaharu itu, Trump mengenakan lebih banyak cukai ke atas China dalam apa yang kini menjadi konfrontasi berskala penuh antara dua ekonomi terbesar dunia. – UMNO Online