Pesta Songkran: UMNO Kedah Desak Kerajaan Negeri Buat Pendirian Rasmi
KUALA LUMPUR, 10 April – UMNO Negeri Kedah mendesak kerajaan negeri tersebut untuk membuat pendirian rasmi mengenai penganjuran Pesta Songkran, kata Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Merbok berkata, desakan tersebut dibuat disebabkan kenyataan tegas Pas Pulau Pinang yang menolak pengajuran pesta tersebut atas alasan ia bertentangan dengan ajaran Islam.
“UMNO Kedah mendesak agar Kerajaan Negeri Kedah segera menyatakan pendirian rasmi berhubung penganjuran Pesta Songkran di negeri ini. Desakan ini dibuat susulan kenyataan tegas Pas Pulau Pinang yang menolak penganjuran Pesta Songkran atas alasan ia bertentangan dengan nilai dan ajaran Islam.
“Tindakan Pas Pulau Pinang menimbulkan persoalan besar terhadap konsistensi dan pendirian blok kerajaan yang turut merangkumi Pas di Kedah. UMNO Kedah mempersoalkan sama ada Kerajaan Negeri Kedah berkongsi pendirian yang sama ataupun memilih untuk berdiam diri dalam isu yang melibatkan sensitiviti agama dan kepelbagaian kaum ini.
“UMNO Kedah turut menggesa agar Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, tampil segera dengan kenyataan rasmi untuk membuktikan bahawa kerajaan negeri pimpinan beliau benar-benar berjiwa besar, progresif dan komited untuk melindungi hak serta budaya semua rakyat tanpa mengira agama mahupun kaum,” katanya menerusi satu kenyataan.
Ujarnya, penjelasan dan pendirian tersebut penting demi kesejahteraan bersama dan memastikan semua kaum di Kedah merasa dihormati dan dilindungi di bawah pemerintahan yang adil.
“Malangnya, sehingga kini, pentadbiran Muhammad Sanusi dilihat gagal menunjukkan ketegasan dalam pelbagai isu dasar termasuk aspek sosio-ekonomi, pembangunan negeri dan perpaduan antara kaum. Pendirian beliau sering kali kabur, berubah-ubah dan penuh dengan alasan yang mengelirukan rakyat.
“UMNO Kedah percaya bahawa rakyat berhak mengetahui sama ada kerajaan negeri hari ini berdiri teguh bersama prinsip kepelbagaian dan keterangkuman, atau tunduk kepada tekanan sempit yang memecah-belahkan rakyat. Dalam konteks ini, UMNO Kedah menuntut Kerajaan Negeri Kedah untuk menyatakan dengan jelas, adakah mereka bersetuju atau menolak penganjuran Pesta Songkran sebagaimana yang ditegaskan oleh Pas Pulau Pinang?
“Penjelasan ini penting demi kesejahteraan bersama dan memastikan semua kaum di Kedah merasa dihormati, dilindungi di bawah pemerintahan yang adil serta bertanggungjawab,” katanya lagi.
Terdahulu media melaporkan bahawa Negeri Kedah yang ditunjangi oleh Pas berhasrat untuk mengetengahkan pesta songkran sebagai produk pelancongan sempena Tahun Melawat Kedah 2025.
Walau bagaimanapun, Pas Pulau Pinang pula membantah penganjuran program Sonic Splash Songkran Music Beach anjuran Ferringi Heart Beach Club Malaysia yang dijadualkan berlangsung pada hujung minggu ini.
Ketua Penerangan Pas Pulau Pinang, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan berkata, program itu jelas mempromosikan acara yang mencolok mata dan merendahkan martabat nilai insani yang dimuliakan oleh Tuhan. – UMNO Online